Datuk Afdlin Shauki
Datuk Afdlin Shauki
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Datuk Afdlin Shauki berusaha mengumpul dana sumbangan untuk disalurkan kepada mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.

Afdlin ketika dihubungi berkata, enam anggota dari pasukan Yayasan Afdlin Shauki (YAS) akan berlepas ke Turkiye pada 5 Mac ini.

"Kemungkinan besar saya tak dapat menyertai mereka ke sana, tetapi pasukan saya yang dianggotai enam orang akan berlepas ke sana.

"Setakat ini kami berjaya mengumpul kira-kira RM40,000 dan masih lagi dalam proses pengumpulan. Jadi, saya memohon sekiranya ada individu atau syarikat yang sudi membantu," katanya kepada Harian Metro.

Afdlin juga mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan artis yang sentiasa mengambil tahu maklumat terkini dan membantu mewujudkan kesedaran menggunakan pengaruh mereka.

"Terima kasih juga saya ucapkan kepada rakan-rakan artis yang menyokong dan mewujudkan kesadaran mengenai misi ini menerusi video dan sebagainya," katanya.

Program ini juga mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Rumah Bantu Insan dan Yayasan Kubra.

Sumbangan dana boleh disalurkan kepada akaun Maybank YAS 564810516713.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2023 @ 3:10 PM