Zarina Anjoulie
Zarina Anjoulie
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur : Bekas tunang pelakon Zarina Anjoulie iaitu Datuk Seri Khazrul Elzey, 45, merancang untuk bertemu dengan bapa pelakon itu esok untuk menyelesaikan kemelut hubungan mereka.

Menerusi perkongsian di laman TikTok, Khazrul berkata, dia akan bertemu dengan bapa Zarina untuk berbincang dengannya esok.

"Doakan yang baik-baik buat kami. Semoga semuanya berjalan lancar," kongsinya.

Khazrul berkata, dia sudah pun berhubung dengan Zarina atau Anju mengenai perkara itu.

"Hari ni dia ada 'text' (mesej) saya dan saya pun ada 'reply' (balas). Apa yang kami bincangkan itu, saya rahsiakan dulu.

"By the way, Anju, saya akan jumpa ayah awak pada 17 hari bulan (esok) ini. Saya akan bagitahu (beritahu) ayah awak, siap awak," kongsinya.

Dalam perkongsian itu lagi, Khazrul juga meminta Zarina untuk tidak lagi 'meroyan' serta lantang bercerita di media sosial.

"Semoga kamu sukses. Saya doakan kamu berjaya teruskan buat 'live' untuk kamu punya produk. 'You are the best influencer, all the best (Anda adalah pempengaruh yang terbaik. Semoga berjaya)

"Don't talk about me eh, you don't meroyan (Jangan bercerita mengenai saya, awak jangan meroyan). So, Anju nanti kita jumpa pada 17 hari bulan ini," kongsinya.

Pada masa sama, Khazrul juga meminta Zarina supaya bertenang dan muhasabah dirinya.

"Tenang, relax, solat dan sentiasa sebut nama Allah, zikir, selawat ke atas Nabi.

"Kita muhasabah diri kita, berubah dan tak perlu cerita masalah diri kita pada orang lain. Itu kan lebih baik. Jaga aib, itu yang penting," kongsinya lagi.

Dalam laporan terdahulu, Zarina menulis kapsyen, 'Broken (hancur) tapi masih bertahan,' dengan berlatar belakangkan lagu Elley Duhe, Middle of the Night sekali gus memberitahu hubungannya dengan Khazrul sudah berakhir.

Sebelum ini, Zarina dan Khazrul mengikat tali pertunangan dan mereka juga sudah menempah baju pengantin dan cincin pada 26 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2023 @ 10:50 AM