Zed Zaidi
Zed Zaidi
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi meminta maaf kepada seluruh penggiat seni.

   Ia berikutan dirinya tidak sempat berbuat apa-apa untuk kebajikan mereka, akibat penamatan kontrak sebagai ahli lembaga Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pada 16 Disember lalu.

   Zed dilantik sebagai ahli lembaga perbadanan Finas pada 8 November dan hanya sempat sebulan lebih memegang jawatan ini. 

   "Saya terkilan sebab saya tak sempat nak buat macam-macam benda untuk industri bila duduk dalam Finas itu terlalu singkat. 

   "Ia antaranya seperti had masa bekerja, gaji minima, kontrak standard, penambahbaikan dan macam-macam lagi pangkalan data untuk penggiat seni. 

   "Jadi saya berharap pelantikan selepas ini biarlah dikalangan mereka yang tahu peranan sebagai ahli lembaga yang menbawa hala tuju industri ini ke tahap mana, serta garis panduan dan dasar yang relevan," katanya kepada Harian Metro. 

   Dalam masa yang sama, Zed menegaskan pelantikannya sebagai ahli lembaga sebelum ini bukan berdasarkan politik tetapi berdasarkan industri.

   "Saya seorang pemain industri. Sebelum ini ahli lembaga lebih kepada penerbit tapi baru-baru ini ia dilantik dari kalangan penggiat seni. 

  "Macam saya, adalah Presiden Seniman, halatuju kami lebih kepada pekerja seni. 

  "Kami nak buat halatuju untuk tahun 2023 tapi apakan daya kontrak dah  ditamatkan perkhidmatan," katanya. 

   Terdahulu Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim berkata, enam ahli lembaganya iaitu Zed, Ahmad Ibrahim, Datuk A. Aida,  Shures Ratnakrishnan, Datuk Seri Rosmadi Ismail dan Adam Ham Kou Kee ditamatkan perkhidmatan biarpun belum setahun berkhidmat dengan mereka. 

   Ia menyusuli langkah Pengerusi Finas, Senator Datuk Seri Zurainah Musa yang ditamatkan perkhidmatan sebelum ini. 

   Penamatan itu berikutan perubahan kerajaan yang menyaksikan portfolio Kementerian Komunikasi dan Multimedia diberi nama baharu kepada Kementerian Komunikasi dan Digital diterajui oleh Menteri, Fahmi Fadzil.

   Menurut Dr Md Nasir, ia selaras dengan surat dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) pada 14 Disember lalu dimana semua perkhidmatan dengan lantikan politik ditamatkan serta merta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2023 @ 8:07 PM