ZED
ZED
Ridzuan Abdul Rahman


SEBAIK diberikan kepercayaan menggalas semula jawatan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) untuk sesi 2022 / 2025, Zed Zaidi tampil dengan enam perancangan jangka panjang untuk kepentingan penggiat seni tanah air.

Enam agenda itu ialah ekonomi penggiat seni, jaminan undang undang, kebajikan dan data industri, royalti, sinergi industri dan pendidikan anak-anak seni.

Zed berkata, untuk agenda pertama, Seniman cuba mencari peluang menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka.

"Tidak kira di TV, filem ataupun sekarang ini media sosial. Kita ada teknologi baharu yang kita perlu teroka bagi memberi peluang pekerjaan yang banyak kepada penggiat seni terutama kepada mereka yang ada pada hari ini serta pelajar fakulti seni apabila nak masuk industri pada masa depan.

"Untuk agenda jaminan undang-undang, kami berusaha merangka satu akta buat penggiat seni bagi membela pekerja seni dan industri seni secara tak langsung.

"Dan kami akan masukkan segala perkara seperti hadkan masa kerja, gaji minima, kontrak standard dan pelbagai lagi. Ini yang dalam perancangan, tapi perlu ada kajian menyeluruh bagi jaminan undang-undang terhadap penggiat seni tanah air," katanya.

Menurutnya agenda ketiga dalam soal kebajikan adalah salah satu kerja hakiki seniman.

"Selain kerja kebajikan, kami berusaha mengumpul data dengan kerjasama di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

"Ini yang kami usahakan supaya seluruh ahli Seniman didaftarkan di bawah program myCAP di bawah portal Sistem Pengurusan & Pemantauan Industri Kreatif Negara (SPPIK) Finas supaya kami mendapat pengiktirafan oleh agensi kerajaan terbabit bagi mengiktiraf kami sebagai anak-anak seni.

"Untuk tujuan royalti, menerusi Program Ekspresi Finas baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob minta saya aktifkan semula terutama royalti dalam kalangan industri kreatif berbanding muzik," katanya.

Zed berkata, muzik sudah ada royalti dan perjuangan Seniman adalah untuk mewujud dan mengaktifkan semula badan kutipan royalti untuk pelakon.

"Ini yang disuarakan Perdana Menteri pada program terbabit. Insya-Allah kami akan bekerjasama dengan kementerian dan agensi terbabit untuk merealisasikan royalti berkenaan.

"Untuk sinergi industri, Seniman akan menjalinkan jalinan kerjasama strategik bersama-sama agensi dan NGO yang terbabit dalam seni supaya kami boleh mengembangkan lagi Seniman ke tahap lebih korporat dan terkini.

"Hubungan baik ini contohnya menjalinkan kerjasama dengan MyIPO untuk royalti, Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara (JKKN) untuk kebudayaan dan kesenian, Finas untuk perfileman, geran dan dana yang membabitkan industri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 6:20 AM