SYAHMI mahu bergelar penyanyi dan komposer dalam satu masa.
SYAHMI mahu bergelar penyanyi dan komposer dalam satu masa.
Ridzuan Abdul Rahman


LANGKAH pertama Syahmi Irfan bertapak dalam industri seni menerusi single Mungkir secara berduet dengan Aufa Hanie dua tahun lalu tidak berjaya menarik perhatian peminat.

Bagaimanapun, pemuda bernama sebenar Muhammad Syahmi Irfan Mohd Nadzri ini tidak mudah putus asa untuk terus mencuba nasib sebagai penyanyi.

Syahmi, 21, kini tampil dengan single berjudul Lagi-Lagi Sayang hasil ciptaannya sendiri dan lirik nukilan bersama SMSM.

"Tak dinafikan perasaan saya amat gementar menanti maklum balas peminat memandangkan ia ciptaan sendiri. Pada masa sama, saya gembira pihak pengurusan bersetuju untuk saya merakamkannya.

"Apa yang dilalui amat menggembirakan dan saya sangat berharap Lagi-Lagi Sayang mendapat sambutan baik daripada semua golongan peminat.

"Secara tak langsung ia akan membawa nama Syahmi Irfan untuk lebih dikenali dalam industri hiburan tanah air," katanya.

Penyanyi berasal dari Shah Alam, Selangor ini bukan saja mahu dikenali sebagai penyanyi, sebaliknya turut mahu dikenali dalam bidang penciptaan lagu.

"Tak salah rasanya untuk saya simpan angan-angan dan impian. Memang saya baru berjinak-jinak dalam bidang penciptaan lagu dan mendapat maklum balas positif daripada orang sekeliling.

"Sebagai orang baharu, tak salah sekiranya saya gunakan sepenuhnya peluang untuk menyerlahkan lagi potensi diri untuk menjadi artis serba boleh.

"Kebanyakan penyanyi baharu yang muncul semuanya datang dengan potensi yang pelbagai dan saya juga perlu ada 'sesuatu'

untuk lebih dikenali ramai. Sebab itu saya perlu berusaha keras untuk ke hadapan," katanya.

Syahmi mengakui pada awal kemunculannya dihimpit perasaan rendah diri untuk bersaing dalam industri hiburan.

"Maklumlah saya masih baharu. Namun, lama-kelamaan saya kikis sikap negatif dan gantikan dengan sikap positif untuk maju.

"Saya percaya setiap penyanyi ada kelebihan masing-masing. Jadi, dah tentu rezeki untuk dikenali akan tiba suatu hari nanti.

"Saya lihat ramai penyanyi baharu ada potensi untuk berjaya. Saya hanya perlu sentiasa bersikap positif dan buat yang terbaik," katanya.

Tanpa berselindung, Syahmi menjadikan Haqiem Rusli dan Naim Daniel sebagai rujukan untuknya terus berkarya.

"Mereka antara yang selalu memberikan karya bagus dan menjadi rujukan komposer baharu macam saya. Saya selalu mengkaji bagaimana penerimaan pendengar setiap kali mereka keluar lagu. Dari situ saya belajar melodi yang bagaimana disukai orang ramai.

"Lagu Lagi-Lagi Sayang berentak balada dan ia dekat dengan jiwa saya. Malah, ia juga menjadi kegemaran sebilangan besar peminat negara kita," katanya.

Idea penghasilan lagu ini tercetus ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Lagi-Lagi Sayang adalah terbitan dan edaran sepenuhnya oleh Indigital Music, manakala muzik video boleh ditonton melalui YouTube Indigital Music.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 6:30 AM