Zaid Salim


Kemaman: Jenazah komposer terkenal, Wan Zul, 61, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam (TPI) Kijal, di sini, jam 2.30 petang, hari ini.

Seramai lebih 50 orang daripada kalangan ahli keluarga, sanak saudara dan rakan menghadiri upacara pengebumian.

Terdahulu jenazah Allahyarham Wan Zul tiba di perkarangan rumah anak perempuannya, Che Wan Norsyikin, 33, di Kampung Baru, Kijal, di sini, jam 11 pagi.

Jenazah kemudian dibawa ke Masjid Jamek Kijal, untuk disembahyangkan sebelum dibawa ke TPI Kijal selepas solat Zohor.

Allahyarham Wan Zul atau nama sebenarnya Che Wan Zulkifli Che Wan Abdul Ghani meninggal dunia di Hospital Kemaman (HK), di sini, akibat kencing manis dan jangkitan kuman pada paru-paru, jam 2.33 pagi tadi.

Allahyarham dimasukkan ke HK pada Ahad minggu lalu dan terpaksa ditidurkan berikutan keadaan kesihatannya yang tidak stabil.

Bagaimanapun, selepas lima hari ditidurkan, Allahyarham kembali sedar dan kesihatannya semakin stabil.

Namun selepas dua hari kemudian (Selasa lalu) kesihatannya kembali tidak stabil dan terpaksa ditidurkan buat kali kedua pada Ahad lalu sebelum menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri, Tengku Siti Famah Tengku Yahya, 70, dan dua anak, Che Wan Norsyikin dan Che Wan Nuradli, 31, awal pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 5:16 PM
CHE Wan Nuradli anak bongsu Allahyarham Wan Zul menyiram pusara ayahnya di Tanah Perkuburan Islam Kijal. FOTO ZAID SALIM
CHE Wan Nuradli anak bongsu Allahyarham Wan Zul menyiram pusara ayahnya di Tanah Perkuburan Islam Kijal. FOTO ZAID SALIM