P RADHI tidak menjangka versi itu mendapat sambutan baik.
P RADHI tidak menjangka versi itu mendapat sambutan baik.
Sudirman Mohd Tahir


Selepas lagu Tiara versi penyanyi Indonesia, Raffa Affar hangat diperkatakan, terbaharu muncul pula versi Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang dinyanyikan oleh P Radhi.

P Radhi, 31, atau nama sebenarnya Muhammad Radhi AB Rahman berkata, dia memilih menyanyikan lagu ciptaan Datuk M Nasir itu kerana dia adalah juara Bintang P Ramlee Kebangsaan 2016.

"Alhamdulillah dan terima kasih saya ucapkan kepada Luncai Emas Sdn Bhd yang menerima saya serta memberi peluang untuk 'cover' lagu Tiara. Lagu Tiara ciptaan (Datuk) M Nasir memang sudah terbaik dan saya sekadar menyanyikannya dalam versi P Ramlee.

"Kenapa versi P Ramlee? Ini sebab saya menjuarai Bintang P Ramlee Kebangsaan pada 2016. Saya juga sangat meminati Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan dari kecil saya sudah dibiasakan dengan lagu-lagu dan lakonan arwah," katanya.

Menurut P Radhi yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman Luncai Emas Sdn Bhd, dia tidak menjangka nyanyian di TikTok menerusi lagu Tiara versi P Ramlee menjadi tular.

"Saya tidak sangka versi P Ramlee yang bermula daripada nyanyian bersahaja di TikTok menjadi tular dan mendapat sambutan baik. Ramai juga yang mengatakan rindu pada arwah dengan dendangan itu.

"Saya terharu dan gembira dapat mengingatkan kembali orang ramai kepada Seniman Agung kita. Terima kasih kepada semua yang menyokong dan mendoakan saya," katanya.

Apa yang menarik, selain lagu 'cover' Tiara itu, P Radhi juga bakal mengeluarkan beberapa single lain juga secara 'cover' mahupun lagu baharu.

"Insya-Allah, selepas Tiara ada juga beberapa lagu P Ramlee dengan dendangan dan gaya tersendiri saya bakal dilancarkan," katanya.

Tidak hanya dilancarkan dalam rakaman semula, Tiara versi P Ramlee turut hadir dengan video muzik.

"Video muzik Tiara ini menjalani penggambaran sepenuhnya di Melaka. Alhamdulillah, selepas tiga hari dilancarkan di saluran YouTube Luncai Emas, ia sudah mencecah 30,000 tontonan. Video muzik ini diarahkan oleh Juril Jumali, diinpirasikan dari filem Penarek Becha," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2022 @ 7:00 AM