ZYNAKAL menerima Anugerah Komposer Muda Berpotensi pada Anugerah MACP 2020, di The Bee, Publika, Kuala Lumpur. FOTO Owee Ah Chun
ZYNAKAL menerima Anugerah Komposer Muda Berpotensi pada Anugerah MACP 2020, di The Bee, Publika, Kuala Lumpur. FOTO Owee Ah Chun
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Komposer dan penyanyi Zynakal tidak menyangka namaya diumumkan sebagai Komposer Muda Berpotensi di Anugerah MACP 2021 di sini.

Zynakal atau nama sebenarnya Muhammad Raziq Rosli, 23, berkata, ia sesuatu yang mengejutkan keranai ramai lagi calon yang bagus.

"Ini rezeki saya. Alhamdulillah atas anugerah ini. Ini adalah penutup yang agak baik untuk tahun 2021. Saya tak banyak sangat keluarkan lagu tahun ini. Rasanya tiada apa sangat produk Zynakal.

"Namun, apabila dikira semula semua punca saya dapat anugerah ini berdasarkan ahli MACP yang aktif. Mungkin ini faktornya," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, kejayaan ini mungkin kerana pengaruh lagu Sakit yang amat melekat di hati peminat dan sering dimainkan di stesen radio.

"Lagu Sakit membawa makna tersendiri kerana ia bukan lagu biasa daripada saya. Ia sebuah cerita yang saya nak berkongsi dengan peminat bagaimana cara nak beritahu orang berkenaan kesihatan mental.

"Dengan cara saya, ia dibuat lagu. Ia bukan sekadar lagu bagi saya. Ia hidup di telinga orang lain. Saya juga dapat banyak mesej beritahu lagu ini mengubah kehidupan mereka. Syukur lagu ini juga banyak mengubah kehidupan saya di manbanyak berita baik yang saya dapat contohnya pengiktirafan ini," katanya.

Anugerah MACP 2021 yang kembali diadakan dalam skala kecil selepas ditangguhkan tahun lalu akibat pandemik Covid-19 turut menyaksikan komposer Omar K dan penyanyi Naim Daniel diumumkan sebagai pemenang Lagu Melayu Dendangan Terbanyak menerusi Sumpah.

Lagu itu menewaskan dua saingan terdekat iaitu Nyawa dan Raga ciptaan Room None dan Iman Imran yang dinyanyikan Sarah Suhairi dan Hari Ini (Hael Husaini).

Kategori Lagu Tamil Dendangan Terbanyak dimenangi lagu Pogiren ciptaan Prashan Sean dan Mugen Rao.

Kategori Lagu Luar Negara Dendangan Terbanyak menjadi milik lagu Wei Da De Miao Xiao ciptaan Lin Jun Jie dan lirik ditulis oleh Xiao Han.

Lagu ciptaan Edry Abd Halim berjudul I Am Me nyanyian Datuk Seri Vida memenangi kategori Lagu Inggeris Dendangan Terbanyak.

Kategori Lagu Cina Dendangan Terbanyak dimenangi oleh lagu Drama Queen ciptaan Quasimodo dan Ka Xi.

Untuk kategori utama, kejutan berlaku apabila penyanyi rap, komposer dan pengarah filem kontroversi, Namewee memenangi kategori Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi menewaskan Datuk M Nasir.

Namewee atau nama sebenarnya Huang Ming Zhi turut memenangi kategori Lagu Pendapatan Luar Negara Tertinggi menerusi lagu berjudul Piao Xiang Bi Fang.

Syarikat Luncai Emas Sdn Bhd pula terus mempertahankan kemenangan sebagai Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak.

Bagi kategori Penerbit Dengan Pendapatan Tertinggi dimenangi Universal Music Publishing Sdn Bhd.

Anugerah MACP adalah majlis penghargaan kepada penggiat seni yang menyumbang hasil karya untuk perkembangan industri muzik tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Disember 2021 @ 10:09 PM