ACRYL Sani (tengah) menyampaikan Sijil Perlantikan Duta Anti-Scam kepada Awie ketika Majlis Pelantikan Duta Anti-Scam Jabatan Siasatan Jenayah Komersil. FOTO Azhar Ramli
ACRYL Sani (tengah) menyampaikan Sijil Perlantikan Duta Anti-Scam kepada Awie ketika Majlis Pelantikan Duta Anti-Scam Jabatan Siasatan Jenayah Komersil. FOTO Azhar Ramli
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Penghibur terkenal, Datuk Awie menyarankan golongan muda supaya lebih berhati-hati dalam mencari pasangan hidup kerana dibimbangi terjerat dengan 'penipuan cinta' yang tidak diduga oleh 'scammer'.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 54, berkata, pada zaman sekarang, ramai orang terdedah bertemu cinta di media sosial termasuk berlaku juga sikap ramai orang yang 'kebulur' menunjukkan kekayaan.

"Ini adalah petanda yang tidak sihat apabila kita dapati ada segelintir 'pihak' yang suka menunjuk-nunjuk di media sosial, menabur-naburkan duit, itu adalah satu tindakan kurang bijak yang boleh menjadi ikutan kepada orang lain.

"Apabila mereka tiada kemampuan dengan cara yang betul, mereka cuba menipu untuk dapatkan 'kebodohan' itu. Memang nak kaya, semua orang nak kaya. Tetapi, bukan dengan cara sebegitu. Nak menunjukkan riyak, itu salah," katanya.

Menurut Awie, dengan pendekatan yang ditunjukkan itu seperti menabur-nabur duit secara tidak langsung membuka peluang untuk 'scammer' di luar sana bersusun-susun muncul mencari mangsa.

"Ini kerana, mereka yang melihat itu sudah pasti ada keinginan menjadi kaya juga.

Bagaimana, cara orang-orang sebegini terutama masih muda boleh hidup mewah dengan hasil menjual produk. Jual produk apa sebenarnya dan itu yang menjadi tanda tanya.

"Jadi, pastilah ada yang nak mengikut juga sehingga terjerumus sebagai 'scammer'. Sebabnya, yang kebanyakan mereka terbabit dengan 'scam' ini adalah budak-budak muda berusia sekitar 20-an, sebagaimana kes penangkapan 'scammer' di Johor, baru-baru ini," katanya lagi.

Awie berkata, dia amat berasa sedih melihat apa yang berlaku, terutama golongan 'mangsa scammer' itu lebih cenderung kepada warga emas yang sudah bersusah payah membuat tabungan sejak daripada usia muda mereka.

"Apapun, saya sangat berbangga dipilih sebagai salah seorang Duta Anti Scam ini bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai bahayanya jenayah 'scam' yang semakin berleluasa sekarang.

"Saya dapati memang banyak kes membabitkan jenayah 'scam' ini yang semakin menjadi-jadi. Justeru, sebagai selebriti dikenali, saya mahu gunakan pengaruh yang ada untuk memberi kesedaran kepada orang ramai terhadap jenayah 'scam' ini, katanya.

Menurut Awie, beliau amat berharap semoga dengan kempen bersepadu Anti Scam dibuat ini akan dapat membuka mata orang ramai untuk tidak lagi mudah terpedaya dengan jenayah licik oleh pihak tidak bertanggungjawab itu.

Terdahulu, Awie menjadi antara selebriti popular tanah air dipilih sebagai Duta Anti Scam yang menerima sijil pelantikan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras, Kuala Lumpur.

Sementara itu, selebriti lain yang turut dilantik oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai Duta Anti Scam ialah Datuk Hattan, Hazama, Aedy Ashraf, Sara Ali, Diana Danielle, Pablo Amirul, Khai Bahar dan ramai lagi daripada pelbagai kaum.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2022 @ 11:33 AM