Awie
Awie
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur : Datuk Awie hairan dengan sikap segelintir penggiat seni yang mudah terpedaya dengan tawaran mengarut yang menjurus kepada penipuan.

Awie yang juga penyanyi Wings berkata, dia menyedari isu yang hangat diperkatakan dalam industri seni tanah air sekarang iaitu Skim Rumahku Syurgaku yang berharga RM10.

"Saya tergelak sendiri kerana ada kawan-kawan saya yang ada dalam itu bijak pandai, tapi boleh bersetuju dengan skim ini. Kalau ikut hukum, logiknya di mana?

"Bayar RM10 boleh dapat rumah berharga RM500,000. Logiknya tiada di situ. Selepas itu saya tengok hantaran

di media sosial berkenaan individu wanita pengarah syarikat perumahan ini. Caranya bercakap macam terdesak sangat. Saya ingat pihak berkuasa kena pergi buat ujian air kencing dia," katanya.

Awie yang juga Duta Anti-Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan penggiat seni agar jangan mudah terpedaya dan menyiasat sehingga ke akar umbi sebelum bersetuju bekerjasama.

"Benda ini terpaksa dilakukan sebab kita jangan bersekongkol dengan penjenayah. Mereka yang senang-senang dapat duit, kita jadi bahan. Untuk apa kita jadi bahan? Berhati-hatilah. Saya kasihan dengan artis-artis senior yang mengharapkan sesuatu. Mereka ini bertahun-tahun dalam industri seni kadangkala tak dapat pembelaan yang betul.

"Tiba-tiba dapat benda ini dan berharap. Tapi kena tipu pula lagi. Kalau betul ini satu penipuan, wanita itu patut dihukum," katanya.

Awie kesal kerana wanita terbabit mainkan perasaan banyak pihak seperti golongan artis veteran dan ramai lagi.

"Sebelum ini saya dengar juga kononnya dia nak bantu kru produksi dapatkan rumah. Dia dah jadi macam satu pertubuhan pula untuk bantu mereka.

"Kau nak jadi pemaju atau pertubuhan? Kalau pemaju, semua nakkan keuntungan, nak keluarkan modal. Ini boleh pula dengar cerita kalau bayar RM10,000 kau boleh pilih pemaju yang kau nak.

"Macamana ini? Bagusnya rangkaian dia. Saya rasa logik tiada di situ. Macamana orang boleh terpedaya dengan dia," katanya.

Menurutnya, dia merasa pelik kenapa dirinya tidak dijemput sama terbabit dalam skim ini.

"Sekali pun tiada jemputan sedangkan saya nak juga pergi. Saya pun antara 'senior' juga dah hampir 40 tahun jadi artis dan layak menyertai skim ini," katanya berjenaka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 5:23 PM