Nafiez Zaidi (Kanan) bersama pelakon Ada Hantu 2. Foto Aziah Azmee
Nafiez Zaidi (Kanan) bersama pelakon Ada Hantu 2. Foto Aziah Azmee
Zaara Talita


Kuala Lumpur : Pelakon Nafiez Zaidi menjelaskan belum mempunyai tarikh untuk mendirikan rumah tangga dengan kekasihnya, Fify Azmi bagi menumpukan perhatian terhadap kerjaya masing-masing.

Nafiez berkata, sebagai lelaki semestinya dia mahu mengikat Fify dalam ikatan yang halal namun perlu mengambil kira pelbagai aspek sebelum berkahwin.

"Sejujurnya saya membawa keluarga untuk merisik Fify kerana mahu kedua-dua keluarga saling mengenali. Semestinya sebagai lelaki, saya tidak mahu tunggu lama-lama kerana tidak manis.

"Namun apa pun, semuanya belum diputuskan lagi kerana masih berada dalam perancangan. Ketika ini kami berdua sibuk dengan kerja masing-masing, jadi perlu mencari masa yang sesuai," kata Nafiez.

Nafiez berkongsi mengenai perancangannya untuk mendirikan rumah tangga ketika ditemui di majlis pratonton filem Ada Hantu 2 yang bertempat di The Starling, Damansara semalam.

Nafiez membawa keluarganya dari Perlis ke kediaman keluarga Fify di Subang Jaya untuk majlis merisik sekitar Jun lalu.

Tambahnya, dia dan Fify tidak merancang untuk bertunang, sebaliknya akan terus mendirikan rumah tangga apabila tiba masanya.

Berkongsi mengenai naskhah terbaru lakonannya, Nafiez mengakui karya Hairul Azreen itu yang menemukanya dengan Fify.

"Benar ketika menjayakan filem ini saya dan Fify mula mengenali satu sama lain. Sekali lagi diberikan kesempatan untuk menjayakan Ada Hantu 2 ini adalah satu peluang keemasan buat saya.

"Bukan kerana saya berlakon dalam filem ini, namun ternyata ia memberikan kelainan tersendiri. Apatah lagi, Ada Hantu yang pertama dulu turut menerima sambutan menggalakkan," kata Nafiez.

Selain Nafiez dan Fify, filem ini turut dibintangi oleh Zahiril Adzim, Shiqin Kamal, Elvina Chua, Hairul Azreen dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2022 @ 1:59 PM