Shah Farid Zain
Shah Farid Zain
Ridzuan Abdul Rahman

Shah Alam: "Kena beringat semasa berada dan buatlah sesuatu yang bermanfaat seperti beli rumah. Masa yang lepas takkan kembali. Harap Allah bagi satu peluang lagi," kata pelakon Shah Farid Zain, 63, bercerita mengenai pengalaman hidup yang dilaluinya sebelum ini.

Shah yang popular menerusi drama bersiri Pendekar untuk slot Spektra di RTM pada 1990-an berkata, kesenangan yang dikecapinya musnah sekelip mata apabila negara dilanda kegawatan ekonomi pada 1997. "Lakonan saya ada impaknya dan meninggalkan kesan kepada penonton. Masa itu memang okey. Apa yang saya nak, pasti mampu dimiliki.

"Syarikat produksi HVD ketika itu ada banyak projek. Habis satu drama ada pula drama lain. Duit sentiasa ada. Namun apabila gawat semuanya habis.

"Saya ada kereta tapi akhirnya kena jual. Harta pun ada yang dijual. Saya cuma tak beli rumah kerana waktu itu tinggal di rumah setinggan," katanya kepada Harian Metro.

Kini semuanya sudah berlalu dan bapa kepada empat anak serta lima cucu ini mencari pendapatan sebagai DJ karaoke, pengacara, menyanyi dan menjadi juri pertandingan.

"Biasanya tawaran kerja ini hanya pada hujung minggu. Ada peminat yang masih kenal saya tegur dan tanya kenapa lama tak berlakon. Terharu saya dibuatnya kerana masih ada yang tanya dan menghargai bakat saya. Saya cuma boleh jawab, kalau ada rezeki saya, adalah.

"Saya ada dengar Datuk Fizz Fairuz sedang berusaha nak filemkan kisah Datuk Bahaman dan teringin nak cuba nasib," katanya yang ditemui pada majlis sidang media teater Masahoro Opu Raja Siti di Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara Selangor, di sini.

Menurutnya dia yang mempunyai kebolehan bersilat juga teringin membintangi filem Datuk Maharaja Lela: Pasir Salak arahan Syamsul Yusof.

"Saya nak cuba jumpa dia tawarkan diri. Saya sebenarnya biasa dengan Syamsul kerana majlis Aidilfitri di rumahnya pun pakai sistem peralatan bunyi saya. Harapnya saya diberi peluang. Sebagai anak seni, jiwa saya masih meronta nak berlakon. Panggil saya dan bagi watak apapun saya akan buat yang terbaik," katanya.

Shah berkata, dia juga terkilan kerana banyak syarikat produksi baru tidak menawarkannya berlakon. Ini berikutan pengurus produksi mereka kebanyakannya orang baru dan tidak mengenalinya sebagai pelakon.

Shah yang bermula dengan teater bangsawan sekitar 1985 sebelum terbabit dalam drama TV percaya nasibnya akan berubah jika membintangi filem kepahlawanan seperti Mat Kilau.

"Cuma keyakinan orang seni sendiri untuk bagi peluang itu sangat diharapkan," katanya.

Dalam pada itu, Shah akan terbabit dengan pementasan teater Masahoro Opu Raja Siti karya dan arahan Sharul Titis di bawah terbitan Majlis Teater Selangor.

Teater berkisarkan sejarah negeri Selangor dari keturunan Bugis ini akan dipentaskan di perkarangan Galeri Shah Alam, Taman Tasik Shah Alam pada 10 dan 11 September ini jam 8.30 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2022 @ 8:44 AM