DJ Dave mengadakan kunjungan ke kediaman keluarga Eow Jin.
DJ Dave mengadakan kunjungan ke kediaman keluarga Eow Jin.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Raymond (anak lelaki Datuk Ooi Eow Jin) gembira dapat balik rumah selepas rawatan di Hospital Sungai Buloh (HSB) akibat Covid-19.

"Tetapi mungkin kerana komplikasi itu, dia meninggal dunia pada Isnin 11 Julai lalu jam 2.38 petang dan proses pengebumian diuruskan oleh hospital," kata Datuk DJ Dave.

DJ Dave yang juga Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) memberitahu mengenai perkembangan keluarga komposer Eow Jin yang dijangkiti Covid pada awal Julai lalu.

Ketika itu Eow Jin, 84, isterinya Datin Khaw Lean Kee dan anak mereka Raymond masing-masing dimasukkan ke HSB untuk mendapatkan rawatan lanjut.

DJ Dave yang berkunjung ke rumah komposer terbabit Jumaat lalu berkata, Lean Kee reda dengan pemergian Raymond.

"Ia kerana mendiang Raymond dah berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) dari umur 14 tahun. Manakala Ooi pula kena serangan strok sejak enam tahun lepas.

"Keadaannya sangat lemah sekarang. Memang kasihan melihatkan keadaannya sekarang.

"Kami di YKAT beri sedikit sumbangan semasa kunjungan itu dan mulai bulan depan kami akan bagi pencen RM500 sebulan kepada Eow Jin untuk meringankan beban keluarganya," katanya Harian Metro.

Raymond, 58, menghidap penyakit tumor otak dan memerlukan penjagaan rapi, manakala Eow Jin berdepan penyakit Alzheimer sejak 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2022 @ 12:53 PM