Nuha dan Naufal
Nuha dan Naufal
Sudirman Mohd Tahir

 

Kuala Lumpur: Lagu Casablanca nyanyian Nuha Bahrin dan Naufal Azrin mencipta sejarah apabila menjadi lagu pertama tempatan yang paling tular dengan menduduki tangga teratas carta Spotify Viral 50 Global dan Spotify Viral 50 Indonesia. 

Lagu ciptaan Daqmie dan lirik oleh Abdul Karim Al Ali itu juga menduduki tempat ke-13 Spotify Top 50 Indonesia di penstriman muzik itu serta mendapat kedudukan tempat pertama di aplikasi JOOX Malay Hits. Manakala di aplikasi Apple Music Top 100, Casablanca menduduki tempat kedua. 

Pengarah A&R & Pemasaran Universal Music Malaysia, Hermond Cheng dan Pengarah Urusan BeeGood Music, Amir berkata, mereka berbangga dengan pencapaian yang diraih sekali gus menjadikan Universal Music Malaysia dan Bee Good Media sebagai syarikat rakaman pertama yang berada di tangga teratas carta Spotify Viral di Indonesia. 

"Bagi kami, ini satu pencapaian yang cukup membanggakan bukan saja untuk syarikat rakaman, penyanyi dan juga lagu Casablanca itu sendiri.

"Kami  merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pendengar, peminat dan pengguna laman sosial sama ada di Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei atau di mana juga berada kerana mendengar dan menstrim lagu ini hingga tular dan mencetuskan fenomena yang luar biasa," katanya. 

Malah, lirik dan elemen yang diketengahkan dalam lagu itu dilihat sangat sesuai buat mereka yang ada 'crush' atau yang sedang dalam percintaan.

Disebabkan itu, lagu Casablanca yang menampilkan Wan Saleh, Amir Hufaz, Khairul, dan Daqmie selaku penerbit dan pengubah lagu itu berjaya diterima baik dan dekat di hati peminat. 

Bagi Nuha, dia tidak menjangka lagu duet bersama Naufal itu mendapat tempat yang hebat dalam kalangan peminat di Indonesia.  

"Perasaan saya sangat terkejut sebab tak jangka lagu Casablanca sudah sampai ke tahap ini, dan dalam masa sama  saya teruja dengan projek yang akan datang. Pendek kata, terkejut, teruja dan sangat gembira. 

"Apa yang kami dapat sekarang dan sokongan yang diperoleh bukan saja dari peminat tanah air tapi juga daripada Indonesia dan Brunei yang kami tidak menjangkakan sama sekali Nuha amat bersyukur dengan sokongan berterusan daripada peminat. 

Sementara itu, Naufal bersyukur dengan sambutan diberikan selain tidak pernah menjangka lagu Casablanca boleh mencetuskan fenomena luar biasa. Sejujurnya, saya sangat gembira dan teruja. 

"Kami sudah buat yang terbaik, dan menyerahkan segalanya kepada Yang Maha Esa. Alhamdulillah tuhan beri kami rezeki yang tidak dijangka. Terima kasih Malaysia dan Indonesia," katanya. 

Lagu dan video muzik (MV) yang dilancarkan pada 4 Jun lalu itu sudah mencecah lebih 5 juta tontonan di saluran YouTube Masyhur dan dilayari lebih 2.5 juta di Spotify. Begitu juga di aplikasi TikTok yang mana lagu ini mencecah tontonan 14.1 juta menerusi #casablancachallenge .

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2022 @ 4:02 PM