Fad Bocey menjalani rawatan akibat slip disc
Fad Bocey menjalani rawatan akibat slip disc
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelawak dan penyampai radio Fad Bocey yang menjalani prosedur rawatan laser radio frekuensi akibat penyakit 'slip disc' yang dialaminya secara tiba-tiba, semalam sudah beransur pulih.

Fad berkata, dia bersyukur apabila rawatan dilakukan sudah selesai dan berterima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatannya.

"Alhamdulillah, selesai semua. Saya beransur pulih cuma tak boleh banyak bergerak.

"Terima kasih semua kenalan dan sahabat yang mendoakan saya. Maaf tak dapat balas atau jawab panggilan kalian semua," katanya.

Difahamkan selepas menjalani operasi laser, penyampai radio Hot FM itu perlu meneruskan dengan rawatan fisioterapi.

Berkongsi mengenai kejadian yang menimpa Fad, isterinya Syaheera Rahman memaklumkan suaminya mula merasai kesakitan selepas bangun daripada tidur.

"Khamis lalu, dia sudah mula sakit dan apabila mengadu tak boleh pijak lantai kerana sakit sangat pada bahagian pinggang, saya terus bawa dia ke hospital untuk bertemu doktor pakar.

"Doktor mengesahkan Fad mengalami simptom 'slipped disc' dan itulah penyebab dia tak boleh bergerak. Bukan tak boleh langsung, tapi pergerakannya sangat terbatas dan sakit.

"Memang doktor pun kata keadaannya agak teruk dan disebabkan itu perlu menjalani rawatan. Ada rawatan berteknologi baru untuk sakit ini dan tak sama dengan rawatan sebelum ini," katanya.

Dalam pada itu, Syaheera berkata doktor menasihati Fad supaya tidak melakukan sebarang aktiviti lasak dalam tempoh enam bulan ke setahun.

Terdahulu Fad dan isteri mendirikan rumah tangga pada Mac 2015 dan mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Favian Adrazin Hayyan, Favian Adzrain Zayyan, Nur Aminah Mishall dan Ibrahim Jibriel.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2022 @ 2:09 PM