Zaid Salim

Kuala Terengganu: "Hari ini kosong (tiada pendapatan), kelmarin dapat juga RM10. Musim PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) nak dapat seorang penumpang pun susah," itu luahan Umar Awang, 75.

Umar dari Kampung Losong Haji Su, di sini, antara 20 individu yang masih aktif mencari rezeki sebagai pengayuh beca di negeri ini dengan pendapatan sehari antara RM20 hingga RM30.

Datuk kepada dua cucu itu berkata, mengayuh beca sudah menjadi rutin hidupnya sejak 45 tahun lalu meskipun usianya sudah meniti senja.

"Pak cik mengayuh beca sejak usia 30 tahun dan sehingga kini tidak pernah buat kerja lain bagi menyara isteri, Rahmah Mohamad, 70," katanya ketika ditemui di perkarangan Pasar Besar Kedai Payang (PBKP), di sini.

Walaupun menyedari sukar mendapatkan penumpang ketika PKP, namun dia tetap keluar mencari penumpang dengan berulang-alik sejauh kira-kira 10 kilometer dari rumah ke bandar setiap hari.

"Pak cik sudah biasa mengayuh dan berasa lemah tubuh kalau tidak mengayuh. Sebab itu pak cik keluar juga ke bandar untuk mencari penumpang dan tawakal, kalau ada rezeki adalah," katanya.

Umar yang mendakwa tidak menerima bantuan kerajaan berkata, dia memberi khidmat dari PBKP ke Komplek Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu membabitkan jarak sejauh kira-kira satu kilometer.

Katanya, setiap penumpang dikenakan tambang sebanyak RM5 setiap seorang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 6:23 PM
Umar Awang, 75, dari Kampung Losong Haji Su menunggu menumpang ketika tinjauan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Pasar Payang. Umar adalah antara 20 individu yang masih aktif mencari rezeki dengan mengayuh beca di negeri ini.Walaupun sedar sukar mendapatkan penumpang ketika PKP, namun dia yang masih kelihatan gagah walaupun sudah berusia tetap keluar mencari penumpang. FOTO GHAZALI KORI