Rabbani.
Rabbani.
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Kumpulan nasyid popular Rabbani merancang untuk mengembalikan zaman kegemilangan nasyid dengan menganjurkan konsert berskala besar.

Perkara itu disuarakan ketua kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz, 49, memandangkan keadaan negara sudah beransur pulih daripada pandemik Covid-19.

"Selepas kita dah melepasi pandemik ini, kami berhajat nak bawa naik semula zaman kegemilangan nasyid. Kalau bukan kita siapa lagi.

"Kalau orang tanya nasyid ini masih boleh bertahan atau tidak? Jawapannya adalah bila kita yang dalam industri ini beri peluang maka sahutlah sama-sama," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, Rabbani menggalakkan dan membuka luas pintu kepada rakan-rakan niaga untuk berganding bahu dalam menjayakan misi mengembalikan kegemilangan nasyid tanah air.

"Pihak kami mengalu-alukan kepada rakan-rakan niaga khususnya dan tak perlu risau sebab Rabbani ini bukan hanya buat konsert saja, tapi kita mempromosikan juga produk-produk usahawan.

"Kami jemput semua usahawan khususnya dalam kalangan bumiputera yang nak bekerjasama dan bersama-sama menjayakan konsert ini.

"Insya-Allah kami akan menggunakan pelbagai cara dari sudut dalam talian, media cetak, media elektronik dan kenalan-kenalan untuk sokong industri nasyid ini," katanya.

Sebelum ini, Rabbani melancarkan nasyid terbaharu mereka yang berjudul Husnul Khatimah hasil gubahan Hafiz Hamidun dan sentuhan lirik oleh Fedtri Yahya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2022 @ 5:41 PM