ELISYA mula minat berlakon selepas sering mengikut kakaknya, Fasha ke lokasi drama Natasha.
ELISYA mula minat berlakon selepas sering mengikut kakaknya, Fasha ke lokasi drama Natasha.
Ridzuan Abdul Rahman

PEMBABITAN adik-beradik dalam kerjaya seni bukan perkara asing. Di Hollywood atau Bollywood, turut menyaksikan pembabitan satu keluarga.

Apapun, dalam industri hiburan tempatan tidak dinafikan pembabitan dua beradik iaitu Fasha Sandha dan adiknya, Elisya yang semakin dikenali cukup menjadi tarikan.

Malah, sebelum ini Elisya pernah dikaitkan 'menumpang' nama kakaknya dan secara tidak langsung dia dilihat bernasib baik.

Namun, Elisya yang yakin dengan bakat seninya tenang dan tidak langsung melayan cerita berbaur negatif. Dia sangat berusaha keras membuktikan bakatnya.

Bahkan, usaha dibuat Elisya berhasil apabila dia semakin dikenali tanpa perlu 'bergantung' terus dengan nama serta populariti kakak kesayangannya.

Elisya boleh dikatakan sudah berada di tahap kemampuan tersendiri. Dia memiliki bakat dan pada masa sama cukup menjaga penampilan diri apabila kini semakin menawan.

Aktiviti seni lakon Elisya Sandha terus meluncur laju sebaik penggambaran drama, filem dan iklan kembali dibenarkan pada 10 Jun lalu.

Elisya, 21, atau nama sebenar Nur Elisya Hassan kini terbabit dengan penggambaran drama bersiri lapan episod berjudul Misteri Mona yang akan disiarkan menerusi slot Samarinda TV3.

"Alhamdulillah, selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tawaran demi tawaran mula datang antaranya untuk drama ini.

BUKTI kemampuan sendiri dengan bakat dan penampilan diri untuk maju dalam industri seni.
BUKTI kemampuan sendiri dengan bakat dan penampilan diri untuk maju dalam industri seni.

"Misteri Mona genre psiko thriller arahan Amor Rizan menampilkan saya, Janna Nick dan Ruzana Ibrahim.

"Saya tak boleh nak tolak kerana cerita ini sangat menarik, walaupun hanya lapan episod. Ia lain daripada yang lain," katanya.

Anak bongsu daripada enam adik beradik ini mengakui, tidak pernah lagi membawakan watak semantap itu kerana selalunya diberikan watak protagonis.

"Watak saya bernama Farah 'caregiver' kepada Anom (Janna Nick). Ini antara watak utama cerita Misteri Mona.

"Ceritanya mengenai pelakon yang mengalami sakit mental daripada kisah silam.

"Apapun penonton kena lihat sendiri apabila ditayangkan kerana ia hanya ditampilkan sebanyak lapan episod untuk slot istimewa Samarinda," katanya.

Elisya juga buat pertama kalinya akan terbabit dengan drama 20 episod untuk slot Lestary TV3 bergandingan dengan Adam Lee.

Selalu ikut Fasha ke lokasi Natasha

Mengimbas kembali, kakaknya Fasha Sandha juga mula mencuri tumpuan peminat menerusi drama Natasha yang disiarkan dalam slot terbabit pada 2005.

"Kalau nak diceritakan sesuatu yang istimewa, waktu kecil dahulu, saya selalu ikut kakak ke lokasi drama Natasha.

"Saya tengok kakak berlakon drama itu dan tak dinafikan ceritanya menarik. Alhamdulillah rezeki kakak, apabila diminati.

"Bermula daripada situ jugalah saya minat berlakon dan insya-Allah kalau drama lakonan saya nanti meletup, ia rezeki saya," katanya.

BAWA watak utama dalam drama genre psiko thriller mengisahkan pelakon alami sakit mental.
BAWA watak utama dalam drama genre psiko thriller mengisahkan pelakon alami sakit mental.

Elisya, bagaimanapun akan menghabiskan penggambaran Misteri Mona terlebih dahulu sebelum terbabit dengan drama lain.

"Saya tak suka buat dua tawaran sekali gus. Biarlah selesai satu persatu tanpa kelam-kabut.

"Untuk slot Lestary, saya dah dapat skrip dan menghayati jalan ceritanya. Insya-Allah, saya dapat rasa kisahnya menarik.

"Saya bersyukur kerana drama lakonan saya banyak disiarkan di TV. Baru-baru ini pun, drama Rindu Tanpa Batas baharu menemui penonton," katanya.

Dia juga mencuri tumpuan ramai menerusi drama Nasi Kerabu Untuk Che Abe bergandingan dengan Izzue Islam.

"Alhamdulillah, penonton tengok cerita ini lain daripada yang lain dan seronok menonton.

"Ia juga jadi faktor bilangan peminat saya bertambah. Cuma, buat masa ini saya belum dapat watak jahat.

"Kesemua watak yang diberikan kepada saya adalah watak baik dan teringin juga nak buat kelainan suatu hari nanti," katanya.

Elisya yang pernah membintangi filem Hero: Jangan Bikin Panas tidak menolak sekiranya ditawarkan berlakon lagi selepas ini.

"Kalau ada tawaran, pasti saya akan terima. Buat masa ini, saya akan fokus pada drama terlebih dahulu.

"Dalam pada itu, saya akan keluarkan produk sendiri dalam masa terdekat.

"Apabila sampai masanya saya akan hebahkan di Instagram (IG) nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 6:00 AM