ANTARA selebriti yang terlibat menjayakan festival ini.
ANTARA selebriti yang terlibat menjayakan festival ini.
Ridzuan Abdul Rahman


SUASANA peralihan pandemik ke endemik di Malaysia menyaksikan Kuala Lumpur Garden of Eid Festival 2022 buat julung kalinya mempersembahkan sebuah festival yang bersifat Islamik namun santai dan menghiburkan.

Acara diberi nama Garden of Eid Festival itu diilhamkan bersempena terjemahan aksara Garden membawa maksud taman yang digambarkan dalam Al Quran sebagai Jannah atau syurga.

Garden of Eid Festival juga menjadi acara yang meraikan dua perayaan terbesar umat Islam iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.

Jurucakap penganjur berkata, acara ini menepati konsep festival yang melestarikan kerohanian dan agama, namun disampaikan dalam perayaan yang lebih santai dan mesra.

Justeru, ia menampilkan pendekatan termasuk hiburan yang sesuai syariah sekali gus mengusung pendidikan bermanfaat buat semua lapisan masyarakat.

Garden of Eid Festival menggabungkan barisan selebriti popular diketuai kumpulan Raihan yang banyak mengharumkan nama negara dengan alunan muzik kerohanian.

Festival juga disemarakkan dengan barisan nama yang sentiasa mengangkat mesej positif dalam setiap karya yang dihasilkan.

AHMAD Dhani dibawa khas ke Malaysia untuk festival ini.
AHMAD Dhani dibawa khas ke Malaysia untuk festival ini.

Datuk Jamal Abdillah, Faizal Tahir dan Naim Daniel serta hos, Altimet akan muncul dalam persembahan kerohanian pada malam 28 Mei ini, jam 8.30 malam di Panggung Anniversari, Kuala Lumpur.

Sebagai malam penutup Garden Of Eid, buat julung kalinya Ahmad Dhani yang juga penyanyi dan pemain keyboard kumpulan Dewa 19 dibawakan khas dari Indonesia untuk muncul dalam sebuah persembahan Malam Munajat Cinta pada 29 Mei ini jam 8.30 malam di lokasi sama.

Pastinya pencinta muzik dan elemen kerohanian merindui kemunculan pemuzik handalan ini dan tidak mahu ketinggalan menyaksikan persembahan yang akan mempamerkan kelainan dan keistimewaan tersendiri.

Tidak hanya mengangkat hiburan, festival ini turut menonjolkan gaya hidup masyarakat masa kini tanpa membelakangkan agama dan kekal dengan nilai-nilai murni menerusi pelbagai aktiviti untuk generasi muda seperti pertandingan papan seluncur (skateboarding).

Tidak terkecuali, pendekatan pendidikan kanak-kanak juga disuntik secara santai dengan kemunculan watak animasi Islamik yang sudah dikenali iaitu Omar & Hana, Didi & Friends dan Ejen Ali.

Dengan tema The Great Reunion (metafora kepada kegembiraan selepas berjaya mengharungi pelbagai rintangan dunia termasuk kepayahan melewati fasa pandemik), festival ini dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 27 sehingga 29 Mei ini.

Turut mengisi jadual selama tiga hari bermula 10 pagi sehingga 10 malam festival berlangsung adalah sesi perkongsian motivasi & bual bicara santai berkenaan kemanusiaan dan pendidikan Islam secara general.

Ia menampilkan kerjasama bersama Qalby, Islamik aplikasi oleh Mizz Nina & Ahlan Academy.

Makanan dari pelbagai jenis juadah yang berkonsepkan 'Flavors of Malaysia' yang dijual dari trak makanan akan memenuhi cita rasa pengunjung.

Antara bonus, budaya sambutan perayaan dari beberapa negara Nusantara dan jiran termasuk Brunei, Indonesia dan Thailand turut akan menanti pengunjung.

Garden of Eid berharap karnival ini dapat dijadikan acara tahunan bagi merancakkan ekonomi, menaikkan industri seni dan menjadi produk pelancongan halal bagi Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2022 @ 6:30 AM