Siti Nurhaliza lakar sejarah
Siti Nurhaliza lakar sejarah
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin trending di Twitter apabila namanya tersenarai dalam kelompok 100 artis utama paling banyak memenangi Anugerah sepanjang zaman sebaris selebriti antarabangsa antaranya Michael Jackson, Beyonce dan BTS.

Siti Nurhaliza atau lebih mesra dengan sapaan Tokti menduduki tempat ke-27 dengan jumlah 329 anugerah yang diterima sepanjang berkecimpung dalam industri seni.

Menerusi akaun Twitter sumber utama perkembangan pemuzik antarabangsa iaitu The Artist Museum, Tokti mengalahkan barisan penyanyi terkenal antaranya Justin Timberlake, Usher, Nicky Minaj, Katy Pery, Celine Dion, Selena Gomez, Bruno Mars, Alicia Keys, Christina Aguilera dan kumpulan K-pop terkenal Super Junior serta TWICE.

Kebanyakan netizen melahirkan rasa teruja dan berbangga dengan pencapaian hebat penyanyi nombor satu Malaysia itu dengan jumlah anugerah yang mengalahkan beberapa selebriti terkenal dunia.

Tokti adalah artis Malaysia yang paling banyak menerima anugerah sehinggakan rekod beliau telah dimasukkan ke dalam Malaysia Book of Records pada tahun 2001 dan kekal pemegang rekod sehingga kini.

Mengikut rekod yang dicatat, penyanyi berusia 43 tahun itu telah menerima dan memenangi lebih dari 300 anugerah tempatan dan antarabangsa.

Penyanyi lagu 7 Nasihat itu adalah pemegang beberapa rekod untuk pelbagai anugerah dan penghargaan. Antaranya 42 anugerah di Anugerah Industri Muzik, 25 anugerah di Anugerah Bintang Popular, 28 anugerah di Anugerah Planet Muzik, 20 anugerah di Anugerah Juara Lagu, empat di Anugerah MTV Asia, tiga di World Music Awards dan dua di Anugerah Musik Indonesia.

Selain itu, beliau juga turut memegang dua rekod dalam Malaysia Book of Records.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2022 @ 12:21 PM