GANDINGAN Cat Farish dan Mizie tampil dengan single Pada Mu.
GANDINGAN Cat Farish dan Mizie tampil dengan single Pada Mu.
Norhayati Nordin


Nama penyanyi Mizie Kamis, mungkin ramai yang tidak mengenalinya lagi. Namun, pemuda yang giat menimba pengalaman dalam industri muzik itu tidak mudah berputus asa.

Buktinya, walaupun single solo pertama Mizie berjudul Ada Kamu yang sudah setahun dilancarkan kurang mendapat sambutan kerana tiada promosi dan publisiti, dia tetap berani hadir dengan lagu duet terbaharu.

Memilih bergabung dengan pelakon, komposer dan penyanyi Cat Farish, kali ini Mizie atau nama sebenarnya, Tarmizi Kamis tampil mempertaruhkan single kedua berjudul Pada Mu yang diedarkan oleh Map Music.

Berbicara mengenai karier seninya, Mizie berkata dia okey saja perlu bertatih-tatih dulu serta perkembangan pun masih perlahan. Katanya, dia akur segala kejayaan mampu diraih dengan usaha gigih serta rezeki daripada Allah.

"Walaupun sedar mungkin ramai pendengar yang belum tahu mengenai kehadiran single Ada Kamu itu, tidak mengapalah. Bagi saya, barangkali rezeki lagu berkenaan agak lambat sedikit tetapi syukur alhamdulillah, hingga kini masih juara dalam Carta IKIM.

"Justeru, bagi saya setiap penyanyi itu ada cabaran tersendiri yang harus sedia mereka hadapi. Ini kerana, tidak semua orang berhadapan laluan mudah untuk berjaya. Seperti saya, cabarannya mungkin agak berliku sedikit. Tapi, ia tidak menjadi masalah," katanya.

Menurut Mizie, dia lebih gemar dan selesa mengambil positif saja. Katanya, selagi ada peluang diberi untuk merakamkan lagu baharu, pasti dia tidak akan menolak kerana suka mencuba

HADIR dengan lagu Ada Kamu dalam single sebelum ini.
HADIR dengan lagu Ada Kamu dalam single sebelum ini.

Mengulas juga lagu Pada Mu, Mizie berkata dia mengetengahkan genre Pop untuk single itu. Katanya, lagu itu juga disifatkan sangat menarik kerana disuntik dengan elemen terkini yang segar untuk gabungan suaranya dan Cat Farish.

"Menariknya single Pada Mu adalah dimuatkan pembaharuan yang jelas dalam penerbitan lagu ini. Pertama, lenggok suara saya dapat disesuaikan dengan baik bersama vokal Cat Farish yang sedap didengar.

"Apatah lagi, diharapkan juga lagu-lagu berunsur ketuhanan yang saya nyanyikan ini dapat diterima baik sekali gus mampu bersaing dalam industri muzik arus perdana (mainstream) masa kini," katanya.

Mizie yang berterima kasih dengan Cat Farish berkata, dia selesa dengan kerjasama mereka. Ujarnya, dia juga mudah untuk memberi komitmen kerana rakan duetnya yang berpengalaman dan sentiasa membantu itu.

Mizie berkata kini dia berharap agar single Pada Mu mendapat sambutan baik daripada pendengar. Katanya, lagu yang sudah dilancarkan di platform digital pada 26 Februari lalu memuatkan banyak mesej positif.

Sehubungan itu, single Pada Mu adalah hasil ciptaan bersama Mizie dan komposer baharu dikenali Hamie Surzair. Menurut Mizie, dia amat berbesar hati dengan kerjasama itu kerana Hamie baginya seorang penggiat seni berkaliber.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 6:23 AM