AISAR Khaled
AISAR Khaled
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon, Aisar Khaled, 22, yang bermula dari platform media sosial sebagai YouTuber atau 'influencer' menyeru rakan-rakan seperjuangan untuk menghargai setiap tawaran lakonan yang diterima.

Aisar berkata, mereka patut gunakan peluang tawaran yang diberikan itu dengan sebaik mungkin.

"Kepada 'influencer' yang ditawarkan berlakon, buat betul-betul. Kalau nak berlakon, buat betul-betul dan bersungguh-sungguh. Peluang begini bukan mudah untuk datang," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, setiap 'influencer' yang memulakan kerjaya lakonan perlu mengambil serius dan menyertai kelas lakonan.

"Kalau boleh, pergi kelas lakonan kerana apa yang kita lakonkan dalam drama atau filem, tidak sama dengan apa yang kita buat untuk kandungan di platform media sosial atau YouTube. Bawa dan hidupkan watak yang diberikan itu dengan sebaik mungkin," katanya.

Pernah beberapa kali terpalit kontroversi, Aisar kini memilih untuk memberi tumpuan penuh kepada kerjaya lakonannya.

"Saya nak fokus kepada bidang lakonan. Saya nak perlahankan benda-benda yang boleh mewujudkan kontroversi. Saya nak serius dan setiap benda yang saya akan lakukan selepas ini, saya kena fikir dengan matang dan masak-masak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2022 @ 4:11 PM