DARI kiri Khairul, Khalil dan Razin.
DARI kiri Khairul, Khalil dan Razin.
Sudirman Mohd Tahir


INISIATIF beberapa kumpulan nasyid sebelum ini bekerjasama dengan penyanyi solo popular diakui berjaya menghidupkan semula irama nasyid tanah air.

Walaupun lagu yang dinyanyikan itu adalah versi rakaman semula, sekurang-kurangnya usaha dilakukan itu mampu memperkenalkan irama nasyid kepada generasi muda hari ini sekali gus mengumpul peminat baharu.

Tidak ketinggalan kumpulan Mestica yang kini muncul dengan single baharu berjudul Istikharah yang menyaksikan mereka bekerjasama dengan penyanyi popular, Datuk Hattan.

Mestica yang ditubuhkan pada 2003 ini antara kumpulan nasyid yang menjadi kegilaan pelajar universiti dan peminat irama itu dengan deretan lagu popular mereka.

Selepas kali terakhir muncul dengan album Projek Palestin - Satu Misi Kemenangan bersama beberapa penyanyi nasyid lain pada 2013, tahun ini Mestica yang dianggotai Razin, Khairul dan Khalil mencuba sesuatu yang baharu.

Menurut Razin yang juga pencipta lagu Istikharah, ia adalah satu penghormatan buat mereka apabila Hattan bersetuju untuk bekerjasama dalam lagu itu.

Istikharah adalah kerjasama pertama Bepositive Music dan juga Masyhur yang diedarkan Universal Music Malaysia.

"Untuk lagu ini tentunya kita meletakkan harapan yang tinggi apatah lagi ini kali pertama Mestica berduet dalam satu single dengan Hattan yang cukup besar namanya dalam industri muzik kita. Saya difahamkan beliau sendiri tidak pernah terbabit dengan produksi atau single bergenre nasyid. Ini satu penghormatan juga disebabkan beliau memilih kami sebagai artis nasyid pertama yang beliau bekerjasama untuk menghasilkan satu single.

"Tentunya satu penghormatan juga apabila beliau bukan saja sudi bekerjasama, malah sudi menyanyikan lagu yang dihasilkan oleh Mestica sendiri. Kita mengharapkan lagu ini mendapat sambutan yang baik. Sudah pasti ia memberi impak yang besar kepada Mestica dan kepada semua yang terbabit. Dengan sambutan yang baik insya-Allah akan memberi motivasi kepada kami untuk terus berkarya dan meletakkan Mestica kepada satu tahap yang baharu dalam industri muzik tempatan," katanya.

Berkongsi lanjut mengenai lagu Istikharah, Razin berkata, lirik lagu itu ditulis isterinya, Mass Mohamad yang mana lagu itu adalah satu 'subject matter' yang jarang diangkat dalam nasyid ataupun lagu lain.

"Kadang-kadang mungkin ramai yang tidak tahu apa Istikharah itu. Tapi, apabila ia dijadikan inti ataupun isi kepada sebuah lagu maka lebih mudah untuk diterjemahkan yang mana Istikharah ini merujuk kepada solat yang dilaksanakan oleh seorang Muslim ketika berada dalam persimpangan untuk membuat keputusan.

"Ia sinonim dalam masyarakat kita bila nak mencari atau bertemu jodoh sama ada pilihannya betul atau tidak. Alhamdulillah, isi dan lagu ini saya kira sangat dekat dengan hati orang dan semua akan melalui proses ini sama ada dalam jodoh, kerjaya atau apa jua situasi," katanya.

Razin berkata, dia mempunyai alasan tersendiri kenapa lagu itu dihasilkan dalam genre balada.

Menurut Razin proses rakaman lagu itu juga mencabar kerana Mestica sudah lama tidak merakamkan lagu baharu selain perlu berduet dengan Hattan.

"Kita tahu lagu balada dan pop balada ini satu genre muzik yang sangat diminati oleh masyarakat Malaysia terutamanya orang Melayu. Saya masih ingat dari segi proses penulisan lagu ini ketika ia baru nak dicipta, ketika itu baru pulang dari konsert Opick di Kuala Lumpur. Ketika memandu itu saya dapat melodi ini dan saya padankan dengan satu lirik sedia ada yang bertajuk Istikharah.

HATTAN bersama Mestica ketika penggambaran video muzik lagu Istikharah dijalankan.
HATTAN bersama Mestica ketika penggambaran video muzik lagu Istikharah dijalankan.

"Alhamdulillah, akhirnya ia siap sebagaimana yang disaksikan hari ini dan sudah sempurna sebagai sebuah lagu. Proses rakaman adalah satu proses yang cukup mencabar disebabkan kami lama tidak masuk ke studio apatah lagi bila kita bekerjasama dengan Hattan. Tentunya ada segan dan gerun disebabkan kami ini semua membesar dengan lagu-lagu beliau.

Selain itu, mereka juga berdepan cabaran ketika menghasilkan video muzik terutama membabitkan cuaca kerana mereka menjalani penggambaran di luar studio.

"Namun, oleh kerana sudah ada perbincangan, 'storyboard' dan sebagainya akhirnya ia berjaya disempurnakan dengan cetusan idea dan kerjasama yang baik daripada semua yang terbabit," katanya.

Sementara itu, Hattan menyifatkan Istikharah adalah lagu yang memberi semangat dan sesuatu yang memberi perjuangan.

"Saya 'salute' apa yang Mestica cuba buat ini dan saya menyokong penuh single terbaharu ini. Proses rakaman berjalan dengan begitu baik dengan bantuan daripada pakar nasyid kita iaitu Daqmie. Ia memberikan satu semangat dan memudahkan disebabkan tunjuk ajar beliau kerana saya tidak pernah buat rakaman nasyid sebelum ini," katanya.

Hattan mengakui dia mengharapkan sesuatu yang berbeza dalam penghasilan video muzik.

"Saya berharap muzik video itu menjadi sesuatu yang lain. Tapi apapun, bukan semua idea kita sama dan ia tetap bagus sebab dapat bekerjasama dengan anak muda serta pasukan yang baru saya kenal ini.

"Harapan saya untuk lagu ini agar ia akan meletup dan menjadi satu lagu yang boleh dikaji oleh orang ramai agar dapat dijadikan panduan di samping mendapat kebaikan menerusi lirik lagu itu. Semoga kita terus berjuang dan semoga lagu ini mendapat tempat di hati para pendengar. Insya-Allah saya doakan semoga Mestica dan pasukan produksi terus maju pada masa hadapan. Sama-sama kita doa," katanya.

Lagu Istikharah sudah dilancarkan secara rasmi pada 28 Januari lalu serentak dengan video muzik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Februari 2022 @ 6:30 AM