Baby Shima
Baby Shima

Kuala Lumpur: Penyanyi Baby Shima mengakui terkejut apabila muzik video lagu duetnya, Bak Zaman yang dinyanyikan bersama Fairuz Misran didakwa mempunyai elemen seram.

   Ia berikutan ada segelintir penonton mendakwa melihat kelibat bayangan misteri di dalam muzik video yang dimuat naik di saluran YouTube Rusa Muzik sejak 18 Januari lalu.

   Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli, 26, mengakui tidak perasan perkara itu dan terkejut apabila dia dimaklumkan dakwaan berkenaan.

   "Ramai peminat mula memperkatakan perkara ini sedangkan saya tak tahu apa-apa. Mereka kata, ia bermula pada minit kedua dan seterusnya.

   "Saya kemudiannya memuat naik sedutan muzik video ini di Tik Tok pada malam selepas ia dilancarkan dan berasa seram juga dengan apa yang berlaku.

   "Secara tak langsung muzik video Bak Zaman jadi 'trending' di YouTube," katanya kepada Harian Metro.

   Muzik video ini dihasilkan mengikut konsep filem Madu Tiga arahan dan lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee.   

   Shima berkata, dia dan pihak pengurusan ada menonton kembali muzik video lagu Bak Zaman itu, namun gagal mengenal pasti kelibat misteri yang diperkatakan.

   "Agaknya pandangan setiap orang berbeza-beza. Saya serahkan kepada peminat untuk menilainya sendiri," katanya.

   Terdahulu menerusi TikTok, peminat Shima mendakwa melihat jelmaan bayangan seorang wanita di dalam muzik video berkenaan.

   "Seram nampak macam bayang-bayang di dinding itu, tengok belah kanan sekali, adakah itu jelmaan?," katanya. 

  "Dalam video yang Shima 'post' sekarang memang tiada apa-apa kan? Tapi, ada part (bahagian) lain yang aku nampak. Dekat muzik video Bak Zaman. Minit kedua lebih aku nampak," kata peminatnya.

   "Baby Shima kena amalkan ayat Kursi dan mulakan apa-apa dengan bismillah," kata peminatnya yang lain.

   Shima berkata, muzik video ini menjalani penggambaran di sebuah tapak kilang di Puchong hujung tahun lalu.

   "Ketika penggambaran, memang berlaku beberapa gangguan sehingga mereka terpaksa mendapatkan bantuan ustaz untuk pulihkan keadaan," katanya.

   Muzik video Bak Zaman kini mendapat 324,000 tontonan di Youtube, manakala di TikTok pula mendapat 3.5 juta tontonan dalam masa 10 jam.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 1:15 PM