O Yeong-su menang anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi drama Squid Game.
O Yeong-su menang anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi drama Squid Game.
Agensi

Los Angeles: Bintang senior Korea Selatan, O Yeong-su, 79, yang membintangi drama bersiri popular, Squid Game dinobatkan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik bagi kategori siri drama televisyen (TV) di Anugerah Golden Globe Ke-79 yang berlangsung hari ini.

Anugerah yang berlangsung secara maya di The Beverly Hilton itu memberi pengiktirafan kepada O Yeong-su yang memegang watak pemain 001 iaitu seorang lelaki tua biasa dikenali sebagai Oh Il-nam, tampil menyertai permainan itu untuk bergembira sebelum kematiannya.

Selain siri berkenaan yang tular, watak aktor Korea itu juga menjadi perbualan hangat di seluruh dunia.

Aktor 'warga emas' berkaliber itu turut berjaya mengenepikan pesaingnya seperti Brett Goldstein menerusi drama siri, Ted Lasso, Billy Crudup dan Mark Duplass (The Morning Show) serta Kieran Culkin (Succession).

Turut berjaya membawa pulang trofi kemenangan ialah filem The Power Of The Dog yang dinobatkan Filem Terbaik, sekali gus menewaskan filem Belfast, CODA, Dune dan King Richard.

Kemenangan filem yang disiarkan di Netflix itu turut memberikan tuah kepada pengarahnya, Jane Champion yang turut dipilih sebagai Pengarah Terbaik dan pelakon Kodi Smit-McPhee menang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem.

Selain itu, filem West Side Story berjaya membawa pulang tiga anugerah iaitu Filem Musikal/Komedi Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik bagi kategori musikal atau komedi menerusi Rachel Zegler dan Pelakon Pembantu Terbaik (Ariana DeBose).

Pelakon, Will Smith pula berjaya memenangi trofi Pelakon Terbaik Lelaki kategori drama, untuk wataknya sebagai Richard Williams, bapa kepada Venus dan Serena dalam King Richard.

Aktres, Nicole Kidman mengalahkan pelakon, Kristen Stewart bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik kategori drama bagi lakonannya sebagai Lucille Ball dalam Being the Ricardos.

Seterusnya, Andrew Garfield memenangi trofi Golden Globe pertamanya sebagai Pelakon Lelaki Terbaik, kategori filem musikal atau komedi, iaitu Tick, Tick... Boom!.

Ekoran pandemik Covid-19, anugerah Golden Globe ke-79 kali ini diadakan tanpa kehadiran calon-calon finalis, pengacara ataupun siaran langsung disebabkan boikot dan kontroversi yang membabitkan Hollywood Foreign Press Association (HFPA).

Kesemua pemenang untuk acara berprestij yang menobatkan Drama Terbaik dimenangi Succession, hanya diumumkan menerusi media sosial dan laman rasmi anugerah berkenaan.

Succession menang unggul menewaskan empat pesaingnya iaitu Lupin, The Morning Show, Pose dan Squid Game yang rata-rata kesemuanya adalah karya drama hebat dengan lakonan mantap. 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 January 2022 @ 4:38 PM