Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon, Ardell Aryana banyak belajar mengenai reda dan aturan Allah untuk hamba-Nya apabila menyertai misi kemanusiaan di Syria ketika ini.

Ardell yang juga isteri kepada pelakon Nadzmi Adhwa dalam hantaran di Instagram berkata, di samping belajar mengenai rasa reda, dia turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang sudi menyalurkan bantuan untuk meringankan beban masyarakat di sana.

"Aku belajar banyak benda tentang reda dan aturan yang Allah tetapkan untuk hamba-Nya. Terima kasih rakyat Malaysia. Bahagia mereka bila kita masih mengingati mereka, bawakan makanan dan baju sejuk untuk mereka. Terima kasih kepada yang percaya kepada saya untuk sampaikan sumbangan kalian di Syria," tulisnya.

Dalam hantaran di Instagram Story, Ardell berkongsi beberapa rakaman video di rumah anak yatim dan beberapa aktiviti pengagihan makanan serta beberapa bantuan barangan keperluan.

"Mereka menjadi anak yatim piatu kerana perang. Kuatkan mereka. Saat ini air mata terus mengalir," tulisnya.

Sebelum itu, Nadzmi menulis hantaran di Instagram, mendoakan kesejahteraan isterinya dalam menjalankan misi kemanusiaan di negara itu.

"Moga Allah reda. Semoga dipermudahkan segala urusan awak. Kami tunggu awak baliknya. Apabila di tanah Syam (Syria), doakan saya dan Urwa (Arwa Malaikha Urwa) di sini ya sayang. Doakan perjalanan isteri saya ke Syria dan Lubnan ya sahabat semua. Semoga selamat pergi dan pulang," tulisnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 5:53 PM