ARIFF Bahran dan isterinya Amirah yang dinikahi, 3 September lalu.
ARIFF Bahran dan isterinya Amirah yang dinikahi, 3 September lalu.
Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Selepas hampir tiga tahun berkenalan, penyanyi Ariff Bahran, 23, akhirnya selamat bernikah dengan wanita pilihan hati juga seorang penerbit program masakan dikenali Amirah Syazwani Mohd Ridzuan, 27, pada 3 September lalu di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Shah Alam. 

Bukan sengaja mahu merahsiakan berita pernikahan itu, Ariff Bahran menjelaskan dia enggan menyusahkan mana-mana pihak untuk menghadiri hari bahagianya ketika negara berdepan pandemik Covid-19. 

"Sepatutnya kami merancang untuk mendirikan rumah tangga pada Disember tahun lalu, tapi disebabkan kes Covid-19 masih tinggi, jadi kami terpaksa tangguhkan majlis pernikahan beberapa kali .

"Namun, alhamdulillah tanggal 3 September lalu kami bersepakat untuk bernikah juga selepas kedua-dua belah keluarga bersetuju dan memberi restu. Lagipun, segala persediaan untuk hari pernikahan sudah pun siap dibuat. 

"Saya tak berniat untuk merahsiakan hari pernikahan kami, cuma saya enggan menyusahkan saudara-mara atau teman terdekat dalam waktu yang mencabar ini," katanya. 

Tambah penyanyi yang popular menerusi lagu Kata Akhirmu itu, dia dan isteri juga merancang menganjurkan majlis resepsi mereka, tahun depan.

"Kami ada merancang mengadakan majlis resepsi. Namun, disebabkan saya terbabit dengan penggambaran hingga Mac tahun depan, maka kami belum dapat memutuskan tarikh sesuai," katanya.

Ditanya mengenai perancangan untuk menimang cahaya mata, Ariff Bahran dilihat tenang menjawab pertanyaan terbabit dan menyerahkan soal zuriat kepada isterinya. 

"Saya tahu soalan ini akan ditanya oleh sesiapa saja. Apa yang mampu saya katakan, soal zuriat saya serahkan kepada isteri kerana dia yang akan melahirkan anak kami nanti.  

"Saya sangat menghormati dirinya. Kalau buat masa ini, dia belum bersedia untuk menimang zuriat dan saya okey saja. Tapi, andai dia sudah bersedia untuk bergelar ibu saya orang yang paling gembira ," katanya. 

Dalam perkembangan lain, Ariff Bahran berkongsi dia baru saja melancarkan single terkini sempena pernikahannya berjudul Melodi Hati, semalam.  

"Lagu ini saya tulis sebulan sebelum hari pernikahan kami. Saya dapat ilham untuk cipta lagu ini selepas segala perancangan untuk berkahwin sudah diputuskan dan berjalan seperti yang dirancang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 2:40 PM