Emelda Rosemila. FOTO Instagram
Emelda Rosemila. FOTO Instagram

Kuala Lumpur: Pelakon Emelda Rosmila, 41, sanggup mengorbankan rambutnya dengan mencukur botak kepala demi menjayakan watak untuk sebuah filem bagi pasaran luar negara berjudul Abnormal.

Emelda atau nama sebenarnya Emelda Rosmila Abdul Hamid berkata walaupun bukan pertama kali berbuat demikian, dia akui puas hati apabila tindakan itu berjaya membuatkan dia keluar dari zon selesanya.

"Jadi selepas 20 tahun berkecimpung dalam dunia seni, pastinya nak cari kepuasan dalam pekerjaan. Cuba benda-benda yang baharu, jadi berani dan paksa had diri.

"Ia satu kesempatan untuk melakukan sesuatu yang baik. Kalau tidak, kita akan terperangkap dalam zon selesa melakukan perkara berulang.

"Mencukur botak rambut saya bukan kali pertama. Pertama, 21 tahun yang lalu, pada tahun 2000, kali kedua, tahun 2021 dengan alasan yang berbeza," katanya.

Menurut Emelda, peluang dapat terbabit dalam filem itu diakuinya sangat besar makna untuk kerjaya. Bukan saja kemampuan lakonannya dicabar, tapi dapat menjayakan karya itu bersama suami tercinta juga sangat disyukuri.

"Jadi, kali ini untuk penampilan filem baharu saya yang bertajuk Abnormal untuk pasaran luar. Tugasan mencabar, tapi sangat menyeronokkan, pengalaman baru untuk saya, bergandingan dengan suami Adlin Aman Ramlie menjayakan satu lagi projek bersama," katanya.

Lebih dua dekad dalam industri seni, Emelda juga bersyukur dapat terus menyumbang kepada industri. Katanya, sekarang dia cuma mahu fokus untuk memajukan diri tanpa dibandingkan dengan sesiapa.

"Saya hanya nak terus bekerja mencari rezeki untuk keluarga dan berkongsi rezeki dengan orang lain. Tiada keinginan dan minat untuk bersaing dengan sesiapa, siapa bagus siapa tidak.

"Kita hanya perlu lakukan kerja sehabis baik, jaga hubungan baik dengan orang, elakkan bermusuhan, mudahkan kerja orang lain dan selebihnya Allah yang aturkan," katanya.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 5:22 PM