ALBUM diterbitkan pada 1991 terus ‘evergreen’ hingga hari ini.
ALBUM diterbitkan pada 1991 terus ‘evergreen’ hingga hari ini.
HM Digital

TAHUN 1991 antara tahun yang melahirkan banyak album berkualiti dan diingati sepanjang zaman.

Selain terjual jutaan unit di seluruh dunia, ia juga mendominasi pelbagai carta album.

Baik rock, pop, heavy metal, rap, R&B, grunge dan banyak lagi, album berkenaan terus didengar sehingga hari ini.

Tahun ini juga, semua album terbabit sudah berusia 30 tahun. Dalam tempoh itu, ia tidak jemu didengar dan terus dianggap sebagai mahakarya.

Berikut 10 album yang diterbitkan pada 1991 dan terus 'evergreen' hingga hari ini.

ARTIS: Paula Abdul

ALBUM: Spellbound

TERBITAN/EDARAN: Virgin Records

TARIKH DIPASARKAN: 14 Mei 1991

Album kedua Paula Abdul ini mencatat kejayaan antarabangsa dengan lagu hit seperti Rush Rush, The Promise of a New Day, Blowing Kisses in the Wind, Vibeology dan Will You Marry Me.

Album ini menduduki tangga pertama carta Billboard 200 dan memenangi kategori Pakej Rakaman Terbaik di Grammy Awards.

ARTIS: Mr Big

ALBUM: Lean Into It

TERBITAN/EDARAN: Atlantic Records

TARIKH DIPASARKAN: 26 Mac 1991

Album kedua Mr Big ini menduduki tangga ke-15 dalam carta Billboard 200. Single To Be With You mencetus fenomena apabila menakluki carta Billboard Hot 100. Single kedua, Just Take My Heart pula menduduki tangga ke-16 carta Billboard Hot 100.

Majalah Rolling Stone meletakkan album ini di tangga ke-49 dalam 50 Album Hair Metal Terhebat Sepanjang Zaman.

ARTIS: Michael Jackson

ALBUM: Dangerous

TERBITAN/EDARAN: Epic Records

TARIKH DIPASARKAN: 26 November 1991

Album studio kelapan Michael Jackson ini album paling laris sepanjang 1991. Ia terjual lebih 32 juta unit di seluruh dunia.

Dangerous menduduki tangga pertama di carta Billboard 200 dan terjual lebih lima juta unit selepas seminggu dipasarkan.

Ia memiliki empat single yang tersenarai dalam 'top 10' carta Billboard Hot 100 iaitu Black Or White, Remember The Time, In The Closet dan Will You Be There.

Pemain gitar Guns N Roses, Slash turut bermain gitar untuk lagu Black Or White dan Give In To Me.

ARTIS: Guns N' Roses

ALBUM: Use Your Illusion I & II

TERBITAN/EDARAN: Geffen Records

TARIKH DIPASARKAN: 17 September 1991

Guns N' Roses yang sebelum itu mencetus fenomena dengan album Appetite For Destruction dan single Sweet Child O' Mine membuat kejutan apabila tampil dengan album berkembar.

Dalam tempoh seminggu dipasarkan, Use Your Illusion II mencatat jualan 770,000 unit, manakala Use Your Illusion I sebanyak 685,000 unit.

Sehingga hari ini, kedua-dua album itu mencatat jualan 39 juta unit di seluruh dunia.

Album ini juga menyaksikan Guns N' Roses menampilkan pemain dram baharu, Matt Sorum selepas memecat Steven Adler.

Mereka turut merekrut pemain keyboard, Dizzy Reed, manakala pemain gitar, Izzy Stradlin meninggalkan kumpulan ini sebaik album ini dipasarkan dan dia digantikan oleh Gilby Clarke.

Antara lagu popular ialah Don't Cry, November Rain, Civil War, Knockin' On Heaven's Door, You Could Be Mine, Right Next Door To Hell, Estranged, So Fine dan banyak lagi.

ARTIS: Boyz II Men

ALBUM: Cooleyhighharmony

TERBITAN/EDARAN: Motown Records

TARIKH DIPASARKAN: 30 April 1991

Judul album ini didedikasikan buat sekolah di Chicago iaitu Coley Vocational High School.

Sebaik dipasarkan, album sulung Boyz II Men ini menduduki tangga ke-58 carta Billboard 200 sebelum mendaki ke tangga ketiga.

Dua lagunya iaitu Its So Hard To Say Goodbye To Yesterday dan Motownphilly masing-masing menduduki tangga kedua dan ketiga carta Billboard Hot 100.

Di Amerika Syarikat, album ini terjual lebih sembilan juta unit.

ARTIS: Metallica

ALBUM: Metallica (Black Album)

TERBITAN/EDARAN: Elektra Records

TARIKH DIPASARKAN: 12 Ogos 1991

Album ini lebih dikenali sebagai 'Black Album' kerana reka letak kulit album yang keseluruhan berwarna hitam.

Ia juga menyaksikan Metallica mula menukar corak muzik daripada thrash metal kepada muzik yang lebih perlahan, berat dan 'sound' yang lebih bersih.

Walaupun ada yang mengkritik Metallica sudah tidak seperti Metallica, album ini akhirnya menjadi album Metallica paling laris.

Ia menduduki tangga pertama dalam carta album di 10 negara termasuk Billboard 200. Di Amerika Syarikat ia terjual lebih 16 juta unit.

Lagu seperti Enter Sandman, Sad But True, Nothing Else Matters, The Unforgiven dan Wherever I May Roam kekal menjadi 'antem' untuk Metallica hingga hari ini.

ARTIS: Bryan Adams

ALBUM: Waking Up The Neighbours

TERBITAN/EDARAN: A & M Records

TARIKH DIPASARKAN: 24 September 1991

Kekuatan utama album studio keenam penyanyi Kanada ini sudah tentu dengan lagu 'berhantu'nya iaitu (Everything I Do) I Do It For You.

Album ini menakluki carta album di lapan negara. Lagu (Everything I Do) I Do It For You pula menduduki tangga pertama carta Single UK selama 16 minggu berturut-turut dan tujuh minggu di carta Billboard Hot 100.

Lagu ini juga menjadi runut bunyi filem Robin Hood: Prince of Thieves lakonan Kevin Costner.

ARTIS: Nirvana

ALBUM: Nevermind

TERBITAN/EDARAN: DGC Records

TARIKH DIPASARKAN: 24 September 1991

Album kedua Nirvana ini diangkat sebagai permulaan penguasaan muzik grunge dan alternatif rock, sekali gus menamatkan dominasi glam rock sebelum itu.

Berbanding album pertama, Bleach, album ini tampil 'bersih' dan mesra radio.

Tanpa diduga, Nevermind meledak, sekali gus meletakkan nama Kurt Cobain (penyanyi, gitar), Krist Novoselic (bass) dan Dave Grohl (dram) di puncak dunia.

Pada Januari 1992, Nevermind menduduki tangga pertama carta Billboard 200 dan terjual lebih 300,000 unit dalam tempoh seminggu.

Lagu seperti Smells Like Teen Spirit, Come As You Are, Lithium dan In Bloom terus didengari hingga hari ini.

Di seluruh dunia, hingga hari ini Nevermind sudah terjual lebih 30 juta unit.

ARTIS: Pearl Jam

ALBUM: Ten

TERBITAN/EDARAN: Epic Records

TARIKH DIPASARKAN: 27 Ogos 1991

Kira-kira sebulan sebelum album Nirvana iaitu Nevermind dipasarkan, Pearl Jam terlebih dulu tampil dengan album sulung ini.

Walaupun lambat mencipta kejayaan, Ten diiktiraf antara album terpenting dalam sejarah kebangkitan muzik grunge dan alternatif rock.

Kejayaan album ini hanya bermula pada penghujung 1992 apabila ia menduduki tempat kedua carta Billboard 200 dengan single popular seperti Alive, Even Flow dan Jeremy.

Jeremy menjadi salah satu lagu terbaik Pearl Jam apabila dicalonkan dalam dua kategori di Grammy Awards ke-35.

ARTIS: Red Hot Chili Peppers

ALBUM: Blood Sugar Sex Magik

TERBITAN/EDARAN: Warner Bros

TARIKH DIPASARKAN: 24 September 1991

Menerusi album kelima ini, Red Hot Chili Peppers akhirnya mengecap populariti di seluruh dunia. Dan, pastinya ia adalah album terbaik mereka.

Ia menduduki tempat ketiga carta Billboard 200 dengan single popular seperti Under The Bridge, Give It Away, Suck My Kiss, Breaking The Girl dan If You Have To Ask.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 6:53 AM