Album ini bukanlah yang terbaik daripada Robin Thicke. Ia tidak ‘catchy’ seperti album sebelumnya, Blurred Lines.

Namun apa yang membuatkan ia menarik ialah kerana Robin mendedikasikan album ini kepada bekas isterinya Paula Patton, tetapi ia juga dikritik kerana dikatakan terlalu peribadi.

Robin berkahwin dengan Paula pada 2005 selepas 10 tahun mengenalinya. Pada 24 Oktober tahun lalu, pasangan ini mengumumkan sudah tidak tinggal bersama, tetapi masih berkawan baik.

Sebulan selepas itu, Robin cuba menyelamatkan perkahwinannya termasuk menujukan lagu Lost Withou U buat Paula dalam satu konsertnya. Lagu Get Her Back yang dimuatkan dalam album ini adalah mengenai Paula dan dia kemudian mengumumkan judul album terbarunya ialah Paula.

“Saya menulis semua lagu dalam lagu ini dalam masa kira-kira tiga minggu dan merakamkannya dalam tempoh sebulan. Semua lagu dalam album ini boleh dikatakan mengenai dia (Paula). Saya letakkan judulnya Paula kerana saya tidak mahu berselindung. Album ini memang mengenai Paula,” katanya.

Pada 9 Oktober tahun lalu Paula menfailkan perceraian dan mereka akhirnya disahkan bercerai pada 20 Mac lalu.

Dari segi muzik, Robin yang sinonim dengan R & B, soul dan pop tidaklah begitu mengecewakan. Walaupun bukan hasilnya yang terbaik, ia tetap sesuatu yang boleh dibanggakan.

Ia menduduki tangga kesembilan carta Billboard 200 dan terjual sebanyak 24,000 unit selepas seminggu dipasarkan.

Kerana ia lebih bersifat peribadi, Robin menghasilkan album ini dari hatinya dan dia jujur dengannya. Atas sebab itu penghayatannya terhadap lagu dalam album ini lebih mendalam.

Hayati lagu seperti You’re My Fantasy, Get Her Back, Still Madly Crazy, Lock The Door, Whatever I Want, Living in New York City, Love Can Grow back, Black Tar Cloud, Too Little Too Late, Tippy Toes, Something Bad, The Opposite Of Me, Time Of Your Life dan Forever Love.

INFO

ARTIS: Robin Thicke

ALBUM: Paula

TERBITAN/EDARAN: Interscope Records/Universal Music

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 12:08 PM