DATUK DJ Dave
DATUK DJ Dave
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) bersimpati dengan nasib lima artis yang dikategorikan sebagai asnaf dan bersedia membantu mereka.

Pengerusinya, Datuk DJ Dave berkata, mereka boleh membantu dan sebenarnya pernah membantu beberapa penggiat seni terbabit sebelum ini.

"Sebenarnya dua daripada mereka kami sudah bantu. Saya juga sudah bercakap dengan ahli jawatankuasa dan kita akan aturkan sesuatu. Untuk sementara waktu mungkin kami boleh bagi bantuan kewangan sekitar RM500 kecuali untuk To'ki," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas paparan muka depan Harian Metro hari ini mengenai nasib lima penggiat seni iaitu Shima, Man Kidal, Ali XPDC, Alina Hassan dan To'ki yang kini dikategorikan asnaf akibat pelbagai sebab.

DJ Dave berkata, pihaknya sudah beberapa kali membantu To'ki, manakala Man Kidal menerimanya semasa disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.

"Ali pula dibantu pada Januari lalu ketika menerima rawatan di Hospital Shah Alam dan YKAT boleh bantu lagi sekali," katanya.

Menerusi penyata yang diberikan YKAT, Shima pernah menerima sumbangan untuk proses perpindahan ke rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) pada 29 Ogos 2019 dan diikuti pada 11 Julai tahun lalu sebanyak RM200.

Ali pula dibantu pada 9 April tahun lalu ketika selepas mengalami melecur 30 peratus di tubuhnya sebanyak RM1,000 dan diikuti RM500 pada 15 Januari lalu.

Man Kidal menerima RM1,000 semasa disahkan positif Covid-19 pada 24 Julai lalu.

To'ki pula mendapat RM500 sebagai sumbangan Aidilfitri pada 7 Jun 2018, diikuti RM500 untuk sumbangan sakit pada 10 Jun 2019.

Dia juga menerima sumbangan peribadi daripada DJ Dave sendiri sebanyak tiga kali berjumlah tidak melebihi RM2,000.

Alina pula tidak pernah dibantu dan akan menerima RM500 selepas ini.

Menurut Dj Dave, YKAT turut membantu penggiat seni di Sabah dan Sarawak yang mengalami kesusahan. YKAT memulakan misi bantuan itu sejak tahun lalu dan sehingga bulan lalu, bantuan sebanyak lima peringkat sudah diberikan kepada artis-artis di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

Selain DJ Dave, pengurusan YKAT dianggotai lapan pemegang amanah iaitu Datuk M Nasir, Datuk Nash, Datuk Yusof Haslam, Datuk Nancie Foo, Datuk Khairudin, Dr Kanagarajan dan Colin Edmonds.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 6:38 PM