VIDEO perkongsian Zalif di Instagram. FOTO IG zalifsidek
VIDEO perkongsian Zalif di Instagram. FOTO IG zalifsidek
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon, Zalif Sidek berkongsi pengalaman seram ketika menjalani penggambaran episod Ulek Mayang untuk drama bersiri seram, Malaysian Ghost Stories apabila rakan artisnya, Neera Azizi dirasuk.

Zalif ketika dihubungi berkata, itu adalah pengalaman paling menakutkan sepanjang 36 tahun kehidupannya dan selama dia aktif bekerja sebagai pelakon.

"Sepanjang 36 tahun saya hidup, ini kali pertama saya berdepan situasi paling menakutkan dan melihat sendiri orang dirasuk. 

"Kejadian berlaku ketika kami menjalani babak persembahan Ulek Mayang di Perak baru-baru ini," katanya kepada Harian Metro.

Berkongsi mengenai kejadian itu, Zalif yang juga anak kelahiran Terengganu berkata, pengarah tidak mengadakan sebarang 'ritual' kerana itu adalah syirik.

"Seperti yang kita semua sedia maklum, tarian Ulek Mayang ada mistiknya yang tersendiri. Namun begitu, pengarah Eoon Shuhaini tidak mahu mengadakan sebarang ritual untuk mengelakkan perkara syirik. 

"Sesi latihan berjalan di sebelah petang dan penggambaran untuk babak itu berjalan sekitar jam 10 malam. Tapi, sebelum penggambaran, kami dah nampak kelainan pada Neera.

"Dia duduk sendirian dan sesekali mendendangkan melodi lagu Ulek Mayang. Ketika penggambaran, tariannya kelihatan begitu sempurna, sedangkan dia baru sahaja menjalani latihan pada petang itu," katanya.

Tidak lama selepas itu, Neera mula meronta-ronta dan ingin lari menuju ke arah laut.

ZALIF Sidek
ZALIF Sidek

"Bila dia dah mula meronta nak lari ke arah laut, kru pakaian cuba memegangnya sementara menunggu ketibaan ustaz yang dijemput untuk membantu.

"Sepanjang proses itu, ada beberapa perbualan antara Ustaz Fahmi dengan 'benda' itu yang ada dalam diri Neera. Dari situ, kami dah tahu bahawa yang bercakap bukanlah Neera.

"'Benda' itu marah kerana kami masuk ke kawasannya dan tak berikan 'hadiah' kepadanya," katanya.

Namun, proses penggambaran tetap diteruskan selepas semuanya selesai.

"Apabila Neera beransur pulih, dia diberikan rehat buat sementara waktu. Apabila dia tersedar, dia tak tahu apa yang berlaku. Penggambaran tetap diteruskan pada malam itu juga sekitar jam 3 pagi," katanya.

Selain Neera, empat lagi penari artis kebudayaan negeri Perak turut menjadi mangsa kerasukan. Dua pelakon lain, Ara Johari dan Didi Astillah juga hampir dirasuk, namun sempat ditenangkan oleh Ustaz Fahmi.

Zalif juga turut memuat naik potongan video ketika Ustaz Fahmi membantu Neera yang meronta akibat kerasukan.

Episod Ulek Mayang akan ditayangkan pada malam ini, jam 11 malam di Astro Ria.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 September 2021 @ 6:20 PM