BABAK seram dalam Malaysian Ghost Stories.
BABAK seram dalam Malaysian Ghost Stories.
Ridzuan Abdul Rahman

MENGHASILKAN cerita genre seram atau hantu sememangnya mempunyai risiko sendiri terutama diganggu entiti ghaib dan makhluk halus.

Pengalaman ini dilalui penerbit, kru produksi dan pelakon drama Malaysian Ghost Stories yang berdepan kejadian menyeramkan ketika penggambaran berlangsung di lokasi.

Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah yang terbabit dalam episod Balan-Balan, sebuah kisah seram popular di Sabah berkata, dia ternampak kelibat makhluk berwarna putih ketika menjalani penggambaran drama ini di Perak.

"Kejadian ini sekitar jam 7 malam. Seorang jurusolek drama ini memanggil saya untuk melihat sesuatu di belakang chalet tempat penggambaran dilakukan.

"Dia tidak berani tengok dan sebaliknya menyuruh saya memerhatikannya. Mulanya saya tidak nampak apa-apa, tapi apabila saya guna telefon bimbit dan 'zoom' baru nampak kelibat berwarna putih di tepi sungai yang dikelilingi pokok kelapa sawit.

ELLIE Suriati dalam episod Hantu Kum Kum.
ELLIE Suriati dalam episod Hantu Kum Kum.

"Saya kawal perasan takut kerana tidak mahu mengganggu fokus kerja. Saya juga tak demam atau alami perkara buruk. Lagipun, ada kru dan jurusolek bersama sepanjang penggambaran," katanya.

Tidak terkecuali adiknya, Didi Astillah dan Neera Azizi turut berdepan situasi sama ketika terbabit dalam episod Ulek Mayang.

Kedua-dua kerasukan ketika di lokasi, namun mereka berjaya dipulihkan oleh kru dan ustaz yang disediakan produksi.

Malaysian Ghost Stories terbitan Arie Zaharie Production diterbitkan sebanyak 18 episod untuk tontonan peminat.

Drama hasil idea asal Syawal Azrai ini menampilkan tiga pengarah iaitu Izuan Mokhtar, Azhari Zain dan Eoon Shuhaini.

Drama ini menampilkan kisah hantu yang berlaku di Malaysia dengan setiap episod menceritakan kisah seram berbeza.

Arie berkata, penggambaran untuk episod drama ini dibuat di Perak ketika penggambaran dibenarkan di bawah Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara, awal bulan ini.

DIDI dan Neera dalam Ulek Mayang.
DIDI dan Neera dalam Ulek Mayang.

BELLA bergandingan dengan Zahiril dalam Balan-Balan.
BELLA bergandingan dengan Zahiril dalam Balan-Balan.

"Kami menggunakan Perak sebagai lokasi kerana kesesuaiannya. Banyak lokasi menarik dipilih mengikut episod drama ini.

"Setnya pula disesuaikan mengikut era hantu itu sendiri. Di samping jalan cerita yang kuat, fokus juga diberikan kepada latar belakang mahluk halus yang terbabit, sejarah, kekuatan dan kelemahannya.

"Memandangkan genre seram ada risiko, saya menyediakan seorang ustaz bagi menjaga sesuatu lokasi ketika penggambaran. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar walaupun ada gangguan," katanya.

Antara kisah hantu yang akan menemui penonton ialah Nenek Hostel, Hantu Kum Kum, Hantu Raya, Hantu Air, Balan-Balan, Pontianak, Langsuir, Pelesit, Hantu Jepun dan Pocong.

Drama bersiri 18 episod ini mula ditayangkan sejak 25 Ogos lalu setiap Isnin hingga Khamis jam 11 malam di Astro Ria.

Barisan pelakon yang terbabit antaranya Janna Nick, Zahiril Adzim, Meerqeen, Syazwan Zulkifly dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 6:30 AM