HAIKAL dan Weswey yakin lagu ciptaan Aubrey diterima peminat.
HAIKAL dan Weswey yakin lagu ciptaan Aubrey diterima peminat.
Ridzuan Abdul Rahman


PLATFORM TikTok destinasi utama untuk video pendek mudah alih kini mengorak langkah yang mengujakan dalam seleksi muziknya dengan melancarkan Perihal Dirimu, lagu aslinya yang pertama di Malaysia dan Indonesia.

Lagu pop nyanyian Haikal Farid dan Weswey, hasil ciptaan komposer terkenal, Aubrey Suwito dan lirik oleh Ad Samad adalah lagu yang menyentuh hati berkisar mengenai menyayangi diri sendiri dan mencintai diri sebenar pasangan seseorang.

Perihal Dirimu adalah penulisan lagu yang pertama buat Aubrey Suwito untuk platform ini dan karyanya sarat dengan penjiwaan mendalam.

Dia terkenal dengan penciptaan dalam pelbagai lagu tempatan seperti Gemilang dan Menuju Puncak.

Aubrey juga bertanggungjawab menghasilkan Perihal Dirimu sebagai sebuah lagu yang ringan melodinya, namun membangkitkan semangat dalam penerimaan diri sendiri untuk meniupkan kekuatan kepada pendengar yang terkesan akibat pandemik.

Perihal Dirimu adalah kerjasama antara TikTok dan syarikat rakaman Rusa Music yang menampilkan gaya muzik penuh perasaan daripada bakat baharu, Haikal Farid dari negara ini dan Weswey dari Indoensia.

Pendengar bakal dibuai dengan alunan harmoni oleh pasangan duo ini sambil diiringi petikan gitar akustik, satu gabungan yang mengimbau muzik pop era 2000.

Haikal berkata, usaha sama ini adalah satu peluang yang besar buatnya dan dia terharu terpilih untuk menjadi sebahagian daripada projek yang luar biasa ini.

"Saya terus jatuh cinta dengan lagu Perihal Dirimu sejurus selepas mendengarnya buat kali pertama dan berbesar hati dapat merakamkan lagu yang menghidupkan semangat positif ini bersamanya.

"Bukan itu saja, peluang ini juga membawa kepada kerjasama hebat dengan Weswey dan kami berdua berharap lagu ini dapat menaikkan semangat mereka yang terkesan akibat pandemik supaya kita dapat terus menjalani hari mendatang dengan lebih baik," katanya yang mula dikenali sejak menyertai program muzik Immortal Songs, tahun lalu.

Dia baru saja melancarkan lagu terbaharu berjudul Tak Terganti pada Januari lalu dan mendapat sambutan hangat. Haikal mempunyai lebih 141,000 pengikut di TikTok.

Bagi Weswey, projek ini adalah pengalaman yang sangat berharga kerana dapat bekerjasama dengan pemuzik dari luar Indonesia seperti Haikal.

"Menyanyikan Perihal Dirimu bersamanya adalah sesuatu yang menyeronokkan dan saya harap kami berpeluang untuk bersama-sama menghasilkan lebih banyak lagi muzik pada masa hadapan.

"Saya juga ingin berterima kasih kepada penerbit dan pencipta lagu, Aubrey yang menjadikan proses kreatif ini penuh dengan keceriaan sehinggakan kami semua senang untuk bekerjasama," katanya.

Weswey atau nama sebenarnya Viki Andriawan adalah pencipta kandungan TikTok dari Bandung, Indonesia.

Dengan suaranya yang unik dan pesona yang menyenangkan, dia mempunyai 620,000 pengikut di TikTok dan jumlah itu meningkat setiap hari.

Pelancaran ini menandakan kerjasama pertama dua bakat muzik ini yang juga permulaan untuk lebih banyak lagi kerjasama dalam muzik serantau.

Sementara itu, Ketua Pemasaran Muzik TikTok Asia Tenggara, Sheau Mei Cheah berkata, TikTok kini mempelopori platform pencarian muzik dengan membuka peluang terhadap penemuan ramai artis dan genre baharu.

"Daripada bakat tempatan seperti Faithlyn sehingga ke antarabangsa seperti Doja Cat, TikTok terkenal sebagai lubuk bagi bakat muzik dan pelancaran lagu ini bakal mengukuhkan lagi perkara itu.

"Kami sangat teruja untuk Haikal dan Weswey. Apabila melihat usaha keras ini bakal mengangkat kerjaya mereka ke tahap yang lebih tinggi. Kami sentiasa berpegang pada misi membawa kegembiraan kepada komuniti melalui kreativiti serta ekspresi tanpa had dan melaksanakannya dengan membabitkan dua pasaran utama adalah satu usaha yang menakjubkan bagi kami," katanya.

Prapelancaran Perihal Dirimu secara eksklusifnya disiarkan di TikTok pada 3 September lalu dan di semua platform penstriman digital mulai semalam.

Sempena meraikan pelancaran Perihal Dirimu, TikTok Malaysia dan TikTok Indonesia kini melancarkan cabaran tanda pagar #DuhaiGadisku pada 4 September lalu.

Peminat dialu-alukan untuk berkongsi mesej positif bersama yang tersayang sambil diiringi alunan indah lagu Haikal dan Weswey.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 6:47 AM