MALAYSIA Di Hatiku tiup semangat cinta negara.
MALAYSIA Di Hatiku tiup semangat cinta negara.
Georgie Joseph


HAMPIR dua tahun bergelut dengan pandemik Covid-19, ternyata semangat kenegaraan rakyat Malaysia dalam pelbagai aspek dan sudut tetap jitu. Ia terus membara dan disemarakkan terutama pada bulan kemerdekaan ini.

Benar bagai ada hikmah di sebalik musibah berlaku. Lihat saja, bagaimana kempen kibarkan bendera putih menjadi bukti bahawa rakyat begitu peka dan empati dengan kesulitan segelintir masyarakat meneruskan kelangsungan hidup.

Lalu bagi meraikan kecintaan terhadap negara biarpun akur dengan ujian bersilih ganti, empat artis tanah air, Kmy Kmo, Luca Sickta, Yonnyboii dan anggota Dolla, Tabby bersatu menghadiahkan sebuah karya patriotik segar berjudul Malaysia Di Hatiku.

Lagu terbitan Universal Music Malaysia hasil komposisi Nick Ariff, Glow Rush, Mike Chan, Pique, Acap Salim selain Kmy dan Luca akan dilancarkan semalam.

Antara bait menarik lirik lagu ini berbunyi, 'sentiasa di dalam jiwaku, kan ku pertahan sepenuh jiwaku Malaysia' umpama metafora bahawa apa saja terjadi, kasih dan cinta terhadap negara, tetap tiada tara.

Kmy atau nama sebenarnya Lukmanul Hakim, optimis dengan karya baharu ini yang akan menjadi pilihan masyarakat pelbagai lapisan umur dalam menyemarakkan rasa cintakan negara.

"Memang rata-rata semua daripada kita bergelut saat ini. Namun kehidupan tetap harus dilalui walau bagaimana cara atau solusi pun. Semoga kehadiran lagu dengan sentuhan moden, klasik, 'catchy' dan 'hype' ini akan terus meniup motivasi dan semangat buat kita semua.

"Paling utama kita takkan menggadai dan melacurkan negara ini untuk apa tujuan pun. Semoga lagu ini dapat terus menjadi semboyan semangat dan nadi perpaduan buat rakyat Malaysia yang berbilang bangsa.

"Harapnya juga lagu ini dapat menjadi 'national anthem' baharu buat kita semua. Saya bangga dapat bergandingan dengan Luca, Yonnyboii dan Tabby kerana ia seperti sebuah kolaborasi adik-beradik," kata Kmy.

GABUNGAN Kmy Kmo, Luca Sickta, Yonnyboii dan Tabby hadiahkan karya patriotik Malaysia Di Hatiku.
GABUNGAN Kmy Kmo, Luca Sickta, Yonnyboii dan Tabby hadiahkan karya patriotik Malaysia Di Hatiku.

Menyentuh mengenai proses rakaman, Luca yang juga gandingan duo serasi Kmy berkata, cabaran merakamkan lagu secara berasingan kerana keterbatasan dan sekatan pergerakan perjalanan bukanlah proses mudah.

"Kami masing-masing merakamkan lagu sekitar Jun ke Julai lalu secara berasingan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Ada yang merakamkan bahagian suara masing-masing di rumah. Macam saya dan Kmy pula, di studio rakaman. Namun prosedur operasi standard (SOP) tetap dijaga."

"Segala-galanya dipermudahkan dan kerjasama ini bertambah mudah kerana saya sendiri sudah tahu cara kerja Kmy, Yonnyboii dan Tabby. Keserasian itu sudah ada dan terus dipupuk.

"Satu fakta menarik, ini adalah lagu pertama yang saya nyanyikan bahagian rap tanpa bertindak sebagai penerbit. Kebiasaan saya menerbitkan lagu dan menyanyikan rap sekali harung," katanya.

Kata Luca atau nama sebenarnya, Shameer Ashraf Shahruddin, karya berkenaan disifatkan lain dari yang lain.

"Lagu ini sudah ada 'feel' dan rasa ketika diperdengarkan. Jadi, proses penulisan lirik ringkas dan senang. Saya sendiri secara peribadi menggemari lagu ini. Malah, suka dengan hasil akhirnya," katanya.

Sementara itu, Yonnyboii atau nama sebenarnya, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin menyifatkan karya berkenaan sangat unik sekalipun bernuansakan patriotik.

"Saya menjangkakan lagu ini berpotensi menjadi lagu merdeka pilihan baharu. Saya mahu jika sudah di usia 30 atau 40 tahun kelak dan berkahwin, harapnya bakal anak nanti boleh menyanyikan lagu ini di sekolahnya," katanya.

Penyanyi lagu Salahku ini mengakui berdepan sedikit cabaran saat merakamkan karya berkenaan.

"Bahagian mencabar saya ialah untuk menyanyi korus dan perlu disuaipadankan dengan vokal Tabby yang tinggi. Agak bergelut juga untuk meneruskan proses rakaman itu."

"Jadi, solusinya vokal saya terpaksa diturunkan 'key' untuk mengimbangi suara Tabby. Tapi lucunya apabila siap hasil akhirnya, rasa macam 'best' pula mendengarkan kombinasi suara kami berempat."

"Pendek kata, padanan suara kami saling melengkapi. Lagu ini memang menarik dan bagai ada lapisan elemen yang cukup mengujakan," katanya.

Bagi Tabby yang menjadi sekuntum bunga dan penyeri untuk kolaborasi ini berkata, peluang berkenaan sudah lama dinantikan.

Tabby atau nama sebenarnya Tabitha Ariel Lam berkata, pembabitannya disifatkan cukup bermakna biarpun projek ini tidak membabitkan dia bersama anggota Dolla.

"Saya secara peribadi sudah lama menantikan peluang menyanyikan lagu bergenre kenegaraan atau berwajah Malaysia. Paling utama, saya boleh katakan kehadiran lagu ini umpama tiupan semangat yang cuba dibangkitkan untuk rakyat saat bergelut di era pandemik ini.

"Apa terjadi, kita tetap akan menang di pengakhirannya. Moga ujian berat ini akan cepat pergi dan kita terus bersatu. Malaysia kekal di hati sampai bila-bila. Jangan ada anasir atau apa saja ujian boleh memisahkan semangat cintakan negara itu.

"Pastinya pengalaman bekerja dengan Kmy, Luca dan Yonnyboii sesuatu yang amat berharga. Mereka sendiri umpama senior dan abang serta diketahui dengan bakat hebat. Siapa tak bangga bersatu dengan mereka dalam lagu yang penuh dengan emosi dan sentuhan genre muzik. Daripada moden hingga tradisional, seni muzik itu tak ada sempadan," katanya.

Muzik video rasmi Malaysia Di Hatiku yang bakal ditayangkan pada Hari Malaysia, 16 September ini adalah kolaborasi antara Samsung Malaysia Electronics dan Universal Music Malaysia. Ia bertujuan mengumpulkan semua rakyat Malaysia untuk terus bersama dalam masa mencabar ini.

Kini lagu Malaysia Di Hatiku boleh didengarkan di semua pelantar penstriman digital popular, manakala lirik videonya pula boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 6:30 AM