YONNYBOII kumpul penyanyi rakam lagu #JANGAN KELUAR di rumah masing-masing ajak pendengar patuh PKP
YONNYBOII kumpul penyanyi rakam lagu #JANGAN KELUAR di rumah masing-masing ajak pendengar patuh PKP
HM Digital

BAGI memberi peringatan kepada masyarakat supaya peka dengan penularan wabak Covid-19, pelbagai usaha dilakukan semua pihak termasuk syarikat rakaman terkemuka seperti Universal Music Malaysia.

Terbaru, syarikat rakaman gergasi ini mengumpulkan 17 artis dan mempersembahkan lagu baru berjudul #JANGAN KELUAR.

Yonnyboii yang memegang tanggungjawab sebagai pencipta lagu ini berkata, ia adalah satu cabaran buatnya bagi mengumpulkan semua artis terbabit.

“Dalam menghasilkan karya ini, matlamatnya adalah untuk menjadikannya sama seperti karya profesional yang lain. Namun, cabaran terbesar adalah kerana #JANGANKELUAR dirakamkan semua artis dengan menggunakan telefon pintar dan apa sahaja yang ada di rumah.

“Ini kerana sekarang kita semua menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tak dapat keluar ke mana-mana. Jadi, ini cara kami untuk merakamkan lagu ini,” katanya.

Ditanya mengenai jalan cerita #JANGANKELUAR, Yonnyboii berkata, ia adalah satu karya yang telus atau ‘straight forward’.

“Mesej yang ingin kami sampaikan adalah mengenai bahaya Covid-19, bagaimana cara untuk kita memutuskan rantaiannya dan pada masa sama mengajak pendengar supaya patuh perintah kerajaan,” katanya.

Selain itu, Yonnyboii juga yakin ia mampu diterima dengan baik kerana berbeza daripada lagu kempen memerangi Covid-19 sedia ada.

INGIN sampaikan mesej mengenai bahaya Covid-19.
INGIN sampaikan mesej mengenai bahaya Covid-19.

“Melodinya adalah berentak hip hop, pop dan R&B. Jadi, secara tak langsung, ini membezakan #JANGANKELUAR dengan lagu kempen lain sedia ada. Namun, mesejnya tetap sama walaupun cara penyampaian serta konsepnya berbeza. Harapnya, ia lebih mudah diterima pendengar,” katanya.

Berkongsi mengenai kualiti bunyi #JANGANKELUAR yang dirakamkan bukan dari studio, Yonnyboii berkata, bunyinya ada nilai estetika tersendiri.

“Itu keistimewaan karya kali ini kerana ada bunyi yang punya nilai estetika kerana ia tidak dirakamkan di studio. Konsepnya adalah lagu yang dirakamkan dari rumah. Jadi, bunyinya adalah salah satu elemen yang ingin kami tonjolkan,” katanya.

Selain Yonnyboii yang turut menjadi seorang daripada artis dalam lagu ini, #JANGANKELUAR juga membariskan 16 artis lain antaranya, Hafiz Hamidun, Rabbit Mac, Shalma Eliana, Sophia Liana, Alvin Chong dan Bella Astillah.

Turut serta, Luca Sickta, Kmy Kmo, Tuju, Kowachee, ASYRFNSIR, Abubakarxli, Siqma, Dolla dan Malik Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 6:45 AM