GAMBARKAN pengalaman percintaan seseorang dalam karya sulung diberi judul Sepertiga.
GAMBARKAN pengalaman percintaan seseorang dalam karya sulung diberi judul Sepertiga.
Syafil Syazwan Jefri


SEBELUM ini, nama kumpulan duo FML lebih sinonim dengan beberapa karya muzik hasil kolaborasi dengan pelbagai artis lain antaranya, Faizal Tahir, Siqma dan Shahida Supian.

Kini, FML yang dianggotai Fahimi Rahmat, 24, dan Mal Hamka, 26, mula bergerak meneruskan perjuangan mereka untuk berdiri sebaris dengan pemuzik tanah air yang lain.

Hadir dengan single sulung mereka yang berdiri sendiri diberi judul Sepertiga, karya ini membuka laluan untuk FML mengukuhkan lagi nama mereka dalam industri muzik tanah air.

"Sebelum ini, kami banyak berkolaborasi dengan pelbagai artis. Sejujurnya, perkara itu dapat mencipta kepuasan dalam diri kami kerana ia juga adalah langkah kami dalam berkarya.

"Sekarang, apabila berpeluang untuk terbitkan lagu kami sendiri dan membawa nama FML secara tunggal, hasilnya juga membuatkan kami berasa puas," kata Fahimi.

Berkongsi mengenai Sepertiga yang dilancarkan pada 25 Jun lalu di YouTube, ia sepatutnya hadir dalam bentuk berbeza kerana pada asalnya lagu berkenaan dihasilkan khas bersempena Ramadan.

"Saya hasilkan lagu Sepertiga ini bersama saudara kembar saya, Firdaus Rahmat pada Ramadan lalu. Jalan ceritanya juga menyentuh mengenai bulan mulia itu.

"Apabila disampaikan hasrat kami untuk keluarkan lagu ini, pihak syarikat rakaman menyarankan supaya kami simpan dahulu dan keluarkannya sebagai single rasmi kami.

SINGLE berjudul Sepertiga buka laluan untuk FML mengukuhkan lagi nama.
SINGLE berjudul Sepertiga buka laluan untuk FML mengukuhkan lagi nama.

"Jadi, kami mengambil keputusan untuk menukar lirik lagu Sepertiga ini daripada kisah mengenai bulan Ramadan kepada kisah beberapa fasa percintaan," katanya.

Berkongsi lebih lanjut mengenai jalan cerita dalam Sepertiga, Fahimi menggambarkan pengalaman percintaan setiap individu itu terbahagi kepada tiga fasa.

"Ia berkisar mengenai perjalanan seorang individu untuk mencari cinta. Dalam fasa pertama, dia berdepan kegagalan dalam bercinta kerana tiada pengalaman.

"Dalam fasa kedua, dia sudah mula mengerti apa erti cinta, namu masih duji apabila hubungan cinta itu berdepan kegagalan.

"Bahagian paling penting adalah fasa ketiga apabila percintaan bukan lagi menjadi keutamaan, sebaliknya dia mula memberi tumpuan kepada kehidupan dan kerjaya," katanya.

Dilancarkan saat negara dan dunia secara berperang dengan Covid-19 bukan satu detik yang mudah.

Namun, kedua-dua mereka memilih untuk menggunakan platform media sosial semaksima mungkin.

"Kami akan gunakan media sosial sebagai medan pemasaran memandangkan banyak kekangan yang terpaksa kita hadapi dalam situasi sekarang.

"Selain itu, kami juga akan banyakkan interaksi bersama peminat dan penyokong kami bagi memastikan mereka tahu mengenai kewujudan kami," kata Mal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 6:47 AM