OUTBREAK kini muncul dengan tiga ahli kumpulan sahaja.
OUTBREAK kini muncul dengan tiga ahli kumpulan sahaja.
Najiy Jefri


PENGUNDURAN dua ahli kumpulan Outbreak, Zaim Ajmal dan Zareef tidak mematahkan semangat tiga ahli yang masih kekal iaitu Shakirin Shah, 21; Allif Firdaus, 21; Hakeem Zamall, 23; untuk terus mengejar cita-cita sebagai boyband di Malaysia.

Menyimpan segunung impian bagi menempatkan diri dalam industri muzik, Outbreak kini tampil dengan single baharu berjudul Infiniti.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, infiniti bermaksud keadaan yang tidak ada batasnya sekali gus membuatkan Outbreak tertampar dan bertekad untuk meneruskan usaha seni mereka sehingga berjaya dan lebih berdaya maju.

Shakirin berkata, dia bersama anggota Outbreak menghormati keputusan dua sahabatnya yang bertekad meninggalkan kumpulan itu dan mengakui sepanjang tiga tahun banyak kenangan dan kejayaan dicapai bersama.

"Kami menghormati keputusan Zaim dan Zareef untuk keluar daripada Outbreak. Saya, Aliff dan Hakeem sentiasa mendoakan perjalanan mereka supaya terus berjaya dan dipermudahkan.

"Biarpun banyak kenangan pahit manis yang kami lalui sepanjang tiga tahun menempa nama, namun kami tidak boleh patah semangat untuk terus 'menghidupkan' jenama Outbreak dan memastikan kumpulan ini terus diingati dan diterima ramai.

"Justeru, kami hadir dengan buah tangan baharu berjudul Infiniti. Single baharu ini menonjolkan kekuatan dan keunikan suara masing-masing selain gandingan bertiga ini disifatkan cukup serasi," katanya.

Lagu Infiniti adalah hasil ciptaan dan lirik oleh Wan Saleh. Buah tangan terbaharu ini memberi inspirasi dan menyuntik semangat kepada seluruh rakyat Malaysia untuk terus bangkit dan jangan pernah mengalah dalam hidup.

Lirik video rasmi lagu Infiniti boleh ditonton bermula hari ini di YouTube.
Lirik video rasmi lagu Infiniti boleh ditonton bermula hari ini di YouTube.

Melihat keadaan pandemik Covid-19 yang melanda negara, Infiniti juga dilihat mampu memberi mesej positif kepada pendengar supaya terus cekal dan kuat dalam mendepani dugaan hidup ketika ini.

Bagi Hakeem, Infiniti berupaya membangkitkan semangat daripada perasaan kecewa dan mendorong semua untuk berusaha dengan lebih gigih dalam apa jua yang sedang dilakukan.

"Infiniti adalah lagu yang saya kira pembakar semangat untuk kita semua supaya terus kuat dan bangkit dalam apa juga dugaan yang kita hadapi. Saya sangat menyukai dengan lirik lagu ini yang menyebut 'Ku cuba. Berulang ku mencuba dengan usaha dan doa. Jangan mudah putus asa. Tetap percaya'.

"Ia menyatakan bahawa kita semua tidak terlepas daripada ujian dan dugaan hidup, namun setiap liku-liku kehidupan yang dihadapi pasti ada harapan dan jalan terbaik untuk menuju kejayaan.

"Ketika merakamkan lagu ini, saya sangat bersemangat untuk menyanyikannya kerana ia sangat bermakna dalam hidup saya. Banyak dugaan yang kita semua hadapi ketika ini, namun kita tidak pernah mengalah, malah sentiasa berdoa dan berusaha," katanya.

Aliff pula berkata, dia berharap Infiniti bakal diterima ramai dan mendapat perhatian di negara luar.

"Saya berharap Infiniti dapat diterima ramai kerana lagu ini sangat bersesuaian dengan situasi yang kita semua hadapi.

"Walaupun aktiviti promosi lagu ini sedikit terhad memandangkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), namun kami yakin dengan naskhah ini serta sokongan padu daripada semua pihak.

"Kami juga harap yang lagu ini akan menerima sambutan seperti single pertama kami berjudul Terima yang mendapat peluang besar iaitu ditemu bual oleh 11 stesen radio di Indonesia dan menduduki carta radio di sana," katanya.

Lirik video rasmi Infiniti bakal disiarkan secara rasmi hari ini di saluran YouTube Beegood Music serta boleh didengari di semua platform digital seperti Apple Music, Spotify, JOOX, Deezer dan YouTube Music sejak semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 6:47 AM