ZAREEF mula aktif menyanyi sejak usia 13 tahun.
ZAREEF mula aktif menyanyi sejak usia 13 tahun.
Sudirman Mohd Tahir


WALAUPUN industri muzik tanah air 'suram' kesan dari penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kemunculan penyanyi baharu sentiasa ada.

Tidak ketinggalan penyanyi yang berasal dari Kuala Lumpur ini mula mengasah bakat nyanyiannya seawal usia 13 tahun yang dikenali sebagai Zareef Sein.

Zareef Sein, 21, atau nama sebenarnya Muhammad Zareef Hussein Anwar Hussein pernah menyertai program realiti TV iaitu Vokal Mania tahun lalu.

Pada program itu, nama Zareef Sein hangat diperkatakan warganet dan penonton apabila mengalahkan penyanyi Aina Abdul pada pusingan 'battle'.

Pada tahun ini, Zareef mengorak langkah dengan melancarkan single solo terbarunya berjudul, Cinta Syurgaku.

Lagu ciptaannya sendiri itu diberikan susunan muzik indah oleh komposer terkenal tanah air iaitu Audi Mok.

"Ini adalah single solo pertama saya sekali gus ia adalah percubaan dalam membina nama dalam industri muzik. Idea menghasilkan lagu ini muncul ketika saya berada di dalam bilik. Semua lagu yang saya tulis adalah berdasarkan kisah yang terjadi di dalam dunia cinta saya yang tidak berakhir dengan baik.

"Jadi, apabila menulis lirik, saya andaikan cerita cinta itu berakhir dengan gembira. Saya mahu memberikan gambaran yang lebih positif. Proses untuk menulis lirik lagu ini mengambil masa yang singkat saja iaitu 30 minit dan proses rakaman selama tiga jam," katanya.

Berkongsi lanjut mengenai lagu Cinta Syurgaku, Zareef menyifatkan kerjasama dengan Audi Mok satu penghargaan buat dirinya sebagai pendatang baru di dalam industri muzik tanah air.

ZAREEF muncul dengan single Cinta Syurgaku.
ZAREEF muncul dengan single Cinta Syurgaku.

"Saya berterima kasih kepada Warner Music Malaysia atas peluang yang diberikan untuk merakamkan lagu ini. Menerusi lagu ini, saya berharap ia dapat mengetengahkan semula bakat saya kepada peminat seni dan pendengar muzik tempatan," katanya.

Sebagai penyanyi baharu, Zareef meletakkan harapan supaya lagu itu diterima baik peminat muzik tempatan.

"Harapan saya agar lagu ini diterima baik oleh pendengar muzik. Mudah-mudahan lagu ini mampu memeriahkan lagi industri muzik Malaysia dalam masa-masa sukar seperti ini," katanya.

Single Cinta Syurgaku terbitan Warner Music Malaysia ini sudah boleh didapati di semua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music manakala video muzik rasmi lagu itu boleh ditonton di saluran YouTube Warner Music Malaysia bermula 7 Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 6:50 AM