PITAHATI lancar versi 'deluxe' album Bintang Biru Kristal Salju.
PITAHATI lancar versi 'deluxe' album Bintang Biru Kristal Salju.
Georgie Joseph


SEMPENA ulang tahun ke-10 album Bintang Biru Kristal Salju, Pitahati bakal melancarkan versi 'deluxe' album itu yang memuatkan persembahan secara langsung mereka di Galeri Annexe, Pasar Seni, Kuala Lumpur pada 2012 lalu.

Album terbitan Luncai Emas itu juga sudah diulang 'master' semula untuk memberikan nafas baharu. Ia sebagai bukti karya terbabit amat penting buat Pitahati yang sangat progresif dalam perjalanan muzik mereka.

Album Pitahati yang dianggotai Ilham (penyanyi), Hidayat (gitar), Zahar (gitar), Masrin (bass) dan Yasin (dram) ini diterbitkan menerusi dua cakera padat (CD) di mana CD pertama memuatkan lagu-lagu asal yang sudah diulang 'master', manakala CD kedua mengandungi rakaman persembahan mereka di Galeri Annexe.

Turut dimuatkan adalah lagu popular mereka berjudul Bintang Biru Kristal Salju yang kerap menerima permintaan ramai dalam setiap persembahan mereka sehingga hari ini.

Lagu itu jugalah yang berjaya melonjakkan nama Pitahati di persada muzik rock Malaysia. Selain daripada Bintang Biru Kristal Salju, lagu Hati-Hati Ahmad! juga menjadi kegemaran peminat mereka sepanjang masa.

Apa yang menarik, Pitahati juga menampilkan genre muzik yang unik dan jarang didengari orang ramai ketika itu yang berasaskan 'art rock' dan 'avant-garde' di mana liriknya dalam bahasa Melayu.

Konsep muzik sebegitu sekali gus semakin berkembang dan jadi ikutan di mana ketika ini pendengar lebih mengenali genre terbabit sebagai 'psychedelic rock' Nusantara.

Album ini juga menjadi batu loncatan dalam perjalanan dan kemajuan seni dan muzik Pitahati. Selepas album berkenaan, mereka kemudian hasilkan dua lagi album iaitu Fonetik Anak Candal dan Selamat Datang Ke Panggung Suara.

Penghasilan album itu menjadi penanda aras dalam muzik tempatan dari segi daya kreativiti, keaslian dan tahap usaha yang tinggi diletakkan ke dalam proses pembikinannya.

Ia juga berhasil merealisasikan impian Pita Hati untuk menggenggam trofi Album Terbaik di pelbagai acara pengiktirafan. Ternyata, impaknya cukup besar dalam kalangan pendengar dan pengkritik muzik.

Dalam pada itu, Pitahati juga bakal muncul dengan sebuah single hasil kerjasama dengan penyanyi legenda, Ito Blues Gang.

Mereka akan menghasilkan versi segar lagu popular Blues Gang iaitu Khatulistiwa yang dijangka akan dilancarkan hujung tahun ini.

Selain itu, mereka juga kini dalam proses pembikinan album baharu selepas enam tahun melancarkan Selamat Datang ke Panggung Suara.

Album Bintang Biru Kristal Salju + Live di Galeri Annexe Pasar Seni KL ini akan mula dijual pada 25 Jun nanti. Ia boleh didapati di semua kedai muzik seluruh negara manakala maklumat lanjut mengenainya boleh didapati di semua platform media sosial Pitahati.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 6:49 AM