Zakaria Abdul Hamid
Zakaria Abdul Hamid
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) meminta penerbit drama dan filem lebih proaktif dalam perancangan kerja-kerja penggambaran bagi mengekang penularan Covid-19.

Pengerusinya, Zakaria Abdul Hamid berkata, pihaknya turut terkilan apabila kes positif mula dikesan dari aktiviti penggambaran dalam tempoh dua minggu lalu.

"Saya sudah mengarahkan unit penguatkuasa Finas memantau keadaan serta mengemukakan fakta kes dan saranan tindakan Khamis ini untuk Finas memutuskan tindakan seterusnya," katanya.

Zakaria berkata, produksi perlu melakukan ujian swab terhadap pelakon-pelakon utama kerana kebanyakan mereka turut terbabit dalam penggambaran dengan produksi lain dan sering bergerak ke beberapa lokasi.

"Sekiranya mereka didapati positif, segera hentikan pembabitan di lokasi dan jalani kuarantin. Kita bimbang pergerakan pelakon-pelakon ini bakal menjadi ejen penularan Covid-19 kepada tenaga kerja sokongan.

"Saya melihat keadaan kru produksi didapati lebih terkawal kerana mereka berada dalam gelembung aktiviti terkawal disebabkan kurang pergerakan dan tertumpu di lokasi dan kumpulan yang sama hingga penggambaran tamat," katanya.

Terdahulu, tiga pelakon drama bersiri Kiblat Yang Hilang iaitu Sweet Qismina, Farisha Irwayu dan Laila Nasir disahkan positif Covid-19 selepas menjalani penggambaran drama itu di Hulu Langat, Selangor awal bulan ini.

Kemudian penggambaran filem Tariandi di Kuala Kangsar, Perak yang membabitkan Sweet turut menyaksikan seorang lagi pelakon, Akif Halqi serta empat kru positif Covid-19.

Kini, seramai 41 kru serta pelakon filem itu menjalani kuarantin di sebuah hotel di Ipoh. Sebelum itu mereka ditempatkan di Pusat Kuarantin Kolej Sains Kesihatan Bersekutu, Ulu Kinta, Perak sejak Rabu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 5:19 PM