MELODI Raya 2021 diadakan dalam suasana yang patuh SOP, tapi meriah.
MELODI Raya 2021 diadakan dalam suasana yang patuh SOP, tapi meriah.
Sudirman Mohd Tahir


PROGRAM Melodi Raya 2021 yang bakal ditayangkan sebanyak dua episod pada 16 dan 23 Mei depan menampilkan beberapa segmen menarik khas untuk penonton setia program hiburan nombor satu itu.

Penerbit Melodi Noradillah Abdullah berkata, antara segmen yang bakal hit adalah Buang Yang Keruh Ambil Yang Jernih di mana menampilkan beberapa artis yang pernah bermasalah dan berselisih faham dipertemukan dan saling bermaafan.

"Antara yang kami nak penonton tengok adalah perselisihan faham Izreen Azminda dan bekas isteri Uda iaitu Intan. Jadi, kami pertemukan mereka dalam Melodi Raya ini. Kami pun sebenarnya tunggu macam mana mereka berbaik atau tak. Itu yang nak ditonjolkan. Kami nak orang bermaaf-maafan di hari raya. Tidaklah semua perkara bergaduh.

"Kalau yang baharu, ada Nabila Razali dan Hafiz Hamidun mengenai isu ciapan Hafiz bagi nyanyian Nabila pada Anugerah Juara Lagu ke-35.

"Walaupun dalam suasana raya, kena ada juga cerita panas dan kontroversi, tetapi tidak keterlaluan. Selain itu, ada segmen Syawal Pertama yang menampilkan artis baharu berkahwin seperti Risteena dan Isa Khan, Ernie Zakri dan Syamel. Kami juga cuba temu bual Mira Filzah dan suami serta Neelofa dan PU Riz," katanya.

Noradillah atau Adeed berkata, segmen nyanyian dan Apa Khabar turut diketengahkan dengan menyuntik elemen yang lebih segar.

"Kami juga ketengahkan dari segi persembahan di mana kita jemput penyanyi asal yang menyanyikan lagu itu sendiri. Contohnya, ada Hail Amir dan persembahan itu diberikan sentuhan berbeza dengan duet bersama Kaka Azraff dan rapper lain. Ada juga persembahan penyanyi, Junainah M Amin. Jadi, penonton Melodi Raya boleh tengok penyanyi lama kita ini.

"Sementara bagi Segmen Apa Khabar, kami mencari artis yang sudah lama senyap, tapi orang kenal. Contohnya, ada Noorkumalasari dan Jeslina Hashim," katanya.

Menurut Adeed, Melodi Raya 2021 yang menampilkan pengacara popular, Awal Ashaari dan Janna Nick itu dijayakan dalam suasana yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

ADEED (bawah kanan) bersama wartawan hiburan Melodi.
ADEED (bawah kanan) bersama wartawan hiburan Melodi.

"Walaupun ketat dengan SOP, tapi cuba juga buat di luar. Tahun lalu kami buat di studio dan semua tahu setiap kali Melodi Raya akan buat secara besar-besaran. Namun, kali ini kita cuba juga dalam kadar yang minimum, tapi masih meriah.

"Kami berbesar hati nak jemput lebih ramai artis, tapi disebabkan kekangan dan SOP, terpaksa buat juga dalam keadaan yang minimum," katanya.

Berkongsi mengenai program mingguan Melodi yang ditayangkan setiap Ahad di TV3, Adeed yang mengetuai program itu sejak awal tahun ini berkata, Melodi bakal berwajah baharu selepas Aidilfitri ini.

"Insya-Allah, selepas Aidilfitri Melodi akan berwajah baharu. Ada beberapa segmen yang sudah dipersetujui oleh pengurusan untuk diketengahkan dalam Melodi. Contohnya set sudah beberapa tahun tak tukar. Cerita artis pula semakin mencabar, jadi kami tak boleh lambat. Macam mana nak kekal relevan dalam industri hiburan, ini yang kami akan ketengahkan dalam Melodi nanti.

"Sejujurnya cabaran adalah kekangan tenaga kerja. Kami ada banyak cerita, tapi untuk dapatkan semua, pasukan saya memang bekerja keras turun padang setiap hari untuk berikan kepuasan kepada penonton.

"Malah, apa yang lebih mencabar juga dari segi teknologi sekarang. Kami perlu terkini dan segera macam portal berita lain. Sebab itu kami ada program MBuzz yang ditayangkan setiap hari. Ia lebih kepada cerita terkini dan berikan 'teaser' dahulu sebelum ditayangkan penuh dalam Melodi. Kalau membabitkan cerita panas, hari itu juga kami tayangkan. Dengan cara ini kami boleh bawa penonton untuk menonton Melodi setiap Ahad," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 6:50 AM