Aslam Yusoff.
Aslam Yusoff.
Oleh Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pengarah lakonan filem tanah air, Aslam Yusoff menerima anugerah Asean Inspiring Award Winner 2021 di Anugerah Asean 2021 yang bakal berlangsung di Jakarta, Indonesia, esok.

Aslam berkata, penghargaan yang diterima adalah hasil prestasi kualiti kerja serta kewibawaannya menguruskan agensi lakonan, Zana Entertainment selepas hampir lapan tahun terbabit dalam industri perfileman.

"Ketika menerima surat jemputan untuk menerima anugerah ini, saya terkejut kerana tidak ada menghantar sebarang penyertaan atau dimaklumkan mengenai majlis penganugerahan ini.

"Bagaimanapun, penghargaan ini adalah hadiah yang tidak disangka-sangka selain dapat mengharumkan nama negara. Saya percaya hasil kerja keras serta dedikasi yang diberikan sebagai pengarah lakonan berjaya membuka mata pihak luar.

"Kejayaan ini juga adalah satu titik permulaan untuk saya terus berjaya dalam bidang ini serta memberi saya lebih semangat untuk memperkenalkan bakat pelakon yang layak untuk membintangi sesuatu filem," katanya.

Aslam berkata, walaupun teruja dengan kemenangan itu, namun dia tidak boleh ke Jakarta berikutan pintu sempadan negara masih ditutup disebabkan penularan Covid-19.

"Namun, saya berterima kasih kepada penganjur kerana berjaya mengesan dan memilih saya untuk kategori terbabit. Tidak dinafikan kejayaan ini juga berkat rezeki perkahwinan yang baru dibina bersama Nafiesha Jophri pada 26 Februari lalu," katanya.

Anugerah Asean Inspiring Award Winner 2021 yang dimenangi Aslam adalah rahsia strategi yang dipamerkan sepanjang menguatkan jenama dirinya sebagai pengarah lakonan filem.

Kejayaan Aslam dinilai barisan juri terdiri daripada wakil Indonesia Award Magazine, Success Research dan Indonesia Awards Center.Com.

Sepanjang lapan tahun bergiat aktif sebagai pengarah lakonan filem, Aslam berjaya menguruskan beberapa pembikinan filem pecah panggung seperti Polis Evo1, 2 & 3, Pusaka dan Bulan & Pria Terhebat.

Selain itu, Aslam turut bertindak sebagai guru lakonan peribadi kepada pelakon Hairul Azreen ketika penggambaran filem Paskal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 2:49 PM