Gambar kenangan Nazia bersama Allahyarham Abu Bakar Omar.
Gambar kenangan Nazia bersama Allahyarham Abu Bakar Omar.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon dan penerbit Nazia Mustafar mendedahkan lakonan terakhir Allahyarham Abu Bakar Omar adalah karya terbitan syarikatnya, Megapine Sdn Bhd iaitu Khilaf Terakhir yang ditayangkan di TV1 pada 9 Januari lalu.

Nazia berkata, pembabitan Allahyarham ketika itu adalah kemunculan terakhir selepas sembilan tahun meninggalkan dunia lakonan.

"Bapak (Abu Bakar), terima kasih kerana menerima lamaran saya untuk lakonan terakhir. Tajuk cerita ini Khilaf Terakhir, maka berakhirlah segala kisah Abu Bakar Omar yang akan saya simpan cerita ini sampai bila-bila.

"Ramai terkejut kenapa bapak berlakon dalam produksi saya. Ramai juga ketika tu yang nak ambil bapak berlakon, tapi dia tak nak. Bapak cakap, dia berlakon buat kali terakhir ini hanya untuk saya selepas sembilan tahun menyepi tidak mahu berlakon lagi.

"Saya sangat terharu. Bapak gembira dengan ajak kami satu produksi makan di rumahnya. Kami dapat makan laksa yang sangat sedap yang dibuat oleh Mak (isteri arwah). Sumpah saya tak boleh lupa," katanya.

Menerusi hantaran dimuat naik di Instagram, Nazia turut mendoakan agar roh Allahyarham tenang di sana.

"Ya Allah, Engkau ampunkan lah dia, Engkau ringankan lah bebanan dia, Engkau tempatlah dia dalam kalangan orang yang Engkau kasihi. Bapak, semoga tenang di sana ya. Masa saya juga akan sampai jua nanti. Al fatihah buat bapak," katanya.

Selain itu, Nazia turut memuat naik hantaran gambar dia bersama pasukan berada di rumah Allahyarham di Alor Setar, Kedah.

"Masa ini kami di rumah bapak. Dia beriya minta kami semua datang rumah. Dia kata nanti sudah tak boleh datang. Perjanjian saya pada bapak, kalau nak bapak 'shoot' kena makan di rumahnya. Tertunai sudah perjanjian itu, kali terakhir kami bersama bapak," katanya.

Allahyarham Abu Bakar Omar disahkan meninggal dunia di Pusat Perubatan Kedah, Alor Setar, Kedah, akibat masalah jantung, semalam.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Akar Peluru, Jalan Pegawai, Alor Setar, petang, semalam.

Terdahulu, jenazah Abu Bakar dibawa ke masjid Al Ghufran, Jalan Pegawai untuk disembahyangkan oleh kira-kira 300 jemaah termasuk ahli keluarga, saudara mara, peminat dan penduduk sekitar sebelum solat Asar.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 April 2021 @ 8:40 AM