EIZLAN fokus mengenal pasti filem yang sesuai ditayangkan.
EIZLAN fokus mengenal pasti filem yang sesuai ditayangkan.
Farihad Shalla Mahmud


TIDAK terburu-buru membuat perubahan hanya kerana baharu memegang amanah dipertanggungjawabkan, Pengerusi Skim Wajib Tayang, Datuk Seri Eizlan Yusof berjanji memberikan khidmat terbaik demi kepentingan industri perfileman tempatan.

Terharu dengan kepercayaan diberi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang merestui pelantikannya atas dasar pengalaman dan kewibawaan dimiliki, Eizlan mahu memberi fokus kepada keperluan mendesak industri perfileman ketika ini.

Eizlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Industri, Kebajikan dan Data Industri Finas berkata, pelantikannya itu dianggap amanah besar diberi Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

"Saya sangat terharu dengan kepercayaan menteri dan kepimpinan tertinggi Finas yang memilih saya menggantikan Datuk Norman Abdul Halim bagi mengemudi Skim Wajib Tayang.

"Ini adalah amanat menteri yang mahu pasukan kami bekerja lebih kuat dan membantu memacu industri kreatif ke arah yang lebih baik dalam segala aspek. Saya terima pelantikan ini dengan hati terbuka dan berjanji akan memberikan yang terbaik kepada industri," katanya.

Ditanya perancangan inisiatif penambahbaikan Skim Wajib Tayang selepas mengetuai jawatankuasa itu, Eizlan mengaku berpuas hati dengan dasar yang sudah dilaksanakan pengerusi terdahulu.

"Saya sudah diberi taklimat oleh Jawatankuasa Skim Wajib Tayang. Saya dapati semua rangka, garis panduan dan hala tuju dilaksanakan mantan pengerusi adalah yang terbaik.

"Setakat ini, saya tidak nampak keperluan untuk membuat rombakan. Lagipun, saya bukanlah jenis yang akan buat perubahan setiap kali memegang tampuk pemerintahan baharu.

"Hendak buat perubahan perlu pembabitan ramai pihak. Saya tidak mahu membebankan jawatankuasa lain. Saya berpuas hati dengan Norman dalam memacu hala tuju Skim Wajib Tayang.

"Bagaimanapun, jika ada keperluan untuk membuat penambahbaikan dari masa ke semasa, baharulah saya akan melaksanakannya," katanya.

Mengenai misi pertama sebaik menggalas tugas itu, Eizlan berkata, fokusnya adalah untuk mengenal pasti filem yang sesuai ditayangkan berikutan pawagam sudah mula beroperasi.

"Sekarang kami dalam proses berbincang dengan penerbit dan mengenal pasti apakah filem yang ada sesuai untuk ditayangkan.

"Pada masa sama, kita tidak boleh menidakkan permintaan pengusaha pawagam yang memerlukan filem yang boleh membantu merancakkan perniagaan sektor itu.

"Saya lebih suka menggunakan kaedah situasi 'menang-menang'. Kerjasama antara penerbit dan pawagam akan diperhebatkan sebagai usaha memaksimumkan kutipan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid mengesahkan pelantikan Eizlan yang menggantikan Norman, berkuat kuasa, minggu lalu.

Menurutnya, pelantikan Eizlan dibuat atas kapasiti, kewibawaan dan pengalaman dimilikinya dalam bidang perfileman.

"Tugas memimpin Skim Wajib Tayang bukan mudah kerana selain memerlukan kepakaran, tugas ini menuntut masa yang banyak.

"Eizlan perlu menonton banyak filem. Beliau dilihat mampu menggalas tanggungjawab itu. Saya yakin dengan pengalaman dan kepakaran yang ada padanya, Eizlan mampu meneruskan legasi memastikan filem yang bakal ditayangkan mendapat sambutan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 6:06 AM