NOOR Nabila. FOTO IG
NOOR Nabila. FOTO IG
Norhayati Nordin & Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Tidak mengiyakan dan tidak menafikan.

Noor Nabila Mohd Noor yang juga kakak kepada selebriti popular, Neelofa memaklumkan dia tidak perlu berkongsi semua perkara mengenainya dengan orang ramai.

Ia susulan khabar angin mengatakan dia akan melangsungkan pernikahan dengan ahli perniagaan, Engku Emran Engku Zainal Abidin yang juga bekas suami pelakon terkenal Erra Fazira dan pelakon Indonesia, Laudya Cynthia Bella, esok.

"Saya pernah beritahu, tolong beri saya sedikit privasi. Lagipun saya bukannya seorang artis. Saya mohon maaf, buat masa ini saya tidak boleh komen apa-apa" katanya kepada Harian Metro.

Nabila ketika dihubungi berkata, dia berharap orang ramai menghormati keputusannya untuk tidak bercakap lebih lanjut.

"Kalau semua perkara sudah betul-betul pasti, barulah saya selesa untuk cerita. Saya harap semuanya memahami, terima kasih," katanya.

Walaupun tidak pernah mengesahkan mengenai hubungannya dengan Engku Emran yang diperkatakan ramai sejak awal bulan ini, namun bayangan Nabila sedang menjalin hubungan cinta dengan ahli perniagaan itu cukup kuat.

Sejak awal bulan ini, gosip mereka hangat diperkatakan dalam laman sembang, malah mendapat liputan meluas media di Indonesia.

Sementara itu, bekas suami Nabila yang juga pelakon popular, Sharnaaz Ahmad, 36, ketika dihubungi berkata, dia tidak perlu ambil tahu urusan peribadi Nabila kerana mereka sudah mempunyai haluan hidup masing-masing.

"Sekarang saya tenang, gembira dan bahagia menjalani kehidupan bersama anak, Jebat Jayden. Cukuplah ada Jebat, saya dah bahagia.

"Dapat bersama Jebat sudah melengkapkan saya. Hal-hal lain saya tak nak tahu dan tak perlu nak komen," katanya yang kini fokus pada pengurusan perniagaan, BubbleBee Milk yang diusahakannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 8:02 PM