TERHARU lagu mereka dipilih sebagai runut bunyi drama Takdir Yang Tertulis.
TERHARU lagu mereka dipilih sebagai runut bunyi drama Takdir Yang Tertulis.
Georgie Joseph


SEMAKIN mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik indie tempatan, kugiran Here Comes July (HCJ) kian rancak mengatur kerjaya seni. Terakhir tampil dengan lagu Malam Hari, kini kugiran ini kembali dengan lagu baharu berjudul Juwita.

Mungkin ramai yang tidak tahu, lagu terbabit juga menjadi runut bunyi untuk drama fenomena, Takdir Yang Tertulis. Sedikit sebanyak, ia berjaya memperkenal lagi nama band ini kepada peminat arus perdana.

Yang pasti, mesej lagu Juwita begitu bermakna dan mendalam. Mana tidaknya, HCJ yang dianggotai Wan Lukman sebagai vokalis, Arfan Zainuddin (gitar utama), Adam Hariz (gitar ritma), Haziq Hashim (pemain bass) dan Irfan Ismail (dram) mengangkat kuasa wanita sebagai fokus utama. Sekali gus, Juwita pastinya memiliki kekuatan daripada mesej penting itu sendiri.

Saban kali lagu yang dihasilkan dengan menggunakan judul nama seseorang wanita berkisar mengenai individu tertentu. Namun, lagu ini sebaliknya membawa pengertian lebih luas merangkumi wanita daripada pelbagai latar belakang.

Menurut vokalisnya, Wan Lukman, Juwita adalah perwakilan kepada setiap wanita yang wujud di muka bumi ini. Juwita ditakrifkan sebagai wanita yang tak pernah berkira, tak pernah penat dan tak pernah beri alasan.

"Idea untuk lagu Juwita ini tercetus lebih kurang setahun yang lalu. Juwita dalam takrifan kami adalah perwakilan terhadap seluruh wanita yang wujud dalam hidup kita. Tidak kiralah ibu kita, teman wanita, kakak, sesiapa sahaja yang digelar wanita, dialah Juwita," katanya.

Setiap wanita menurut HCJ memiliki kuasa tersendiri yang mampu memberi kesan besar dalam hidup seseorang. Mengambil kira situasi pandemik semasa juga, mereka tujukan khas lagu Juwita kepada pejuang barisan hadapan wanita yang tidak lelah menyelamatkan orang ramai.

"Juwita sentiasa bersama kita dalam menyinari hidup seharian. Kehebatan Juwita ini, tiada siapa boleh nafikan. Selain ditujukan buat seluruh wanita secara amnya, lagu ini didedikasi khas buat barisan hadapan wanita kita. Mereka tidak henti bekerja keras demi negara, namun pada masa sama masih bertugas
tanpa putus asa untuk keluarga," katanya.

Lebih manis, Juwita mendapat kepercayaan untuk dimuatkan dalam koleksi runut bunyi drama Takdir Yang Tertulis arahan Shahrulezad Mohameddin. Drama hebat dibintangi Nad Zainal, Nazim Othman, Elvina Mohamad dan Alvin Chong itu sendiri cukup luar biasa karyanya.

Berkongsi hal itu, Wan Lukman tidak menafikan sangat berbesar hati Juwita turut dipilih sebagai sebahagian daripada drama terbabit. Semestinya, mereka teruja apabila promosinya akan jadi lebih meluas apabila dimainkan berulang kali menerusi slot drama perdana itu.

HERE Comes July mengorak langkah pemula 2021 dengan lagu Juwita.
HERE Comes July mengorak langkah pemula 2021 dengan lagu Juwita.

"Paling kami berharap adalah semoga melodi lagu ini dapat menemani penonton setia drama Takdir Yang Tertulis. Biarlah melodi ini pantas melekat dan menjadi siulan sepanjang masa oleh penonton setia di luar sana. Tidak ketinggalan, semoga ia menjadi titik penting pengenalan kepada kreativiti Here Comes July," katanya.

Mendapat sentuhan keseluruhan anggotanya sendiri untuk penghasilan lagu Juwita, Wan Lukman mendedahkan prosesnya berlaku sangat pantas dan spontan. Semestinya, paling memberi inspirasi kepada mereka adalah perjuangan barisan hadapan wanita. Menariknya, mereka turut mendapat sokongan untuk susunan muziknya daripada Taja.

"Biasanya, idea tercetus tanpa dirancang. Inspirasi melodinya tercetus semasa seluruh anggota kami sedang main game dalam talian semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama. Selepas itu, HCJ bertukar idea dan pandangan dari awal pagi hingga ke lewat malam setiap hari. Atas tunjuk ajar dan nasihat Taja, terhasillah susunan yang paling menusuk kalbu untuk Juwita," katanya.

Memperjuangkan muzik pop indie, HCJ mula aktif sejak 2013. Pada 2019, mereka pernah membuat beberapa persembahan di Rantai Art Festival, Naib Johan Music's Friends From Far Away Places, Unity Festival Malaysia, Push to Play Vol. 28, Merdekaraya Open Mic, LiveInIntun, Euphonious 2018 dan Cyber Fest.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 6:30 AM