NAMA Nad Zainal tetap jadi sebutan peminat drama Takdir Yang Tertulis
NAMA Nad Zainal tetap jadi sebutan peminat drama Takdir Yang Tertulis
Sudirman Mohd Tahir

WALAUPUN drama Takdir Yang Tertulis sudah lebih seminggu tamat bersiaran, nama pelakon utamanya Nad Zainal masih menjadi sebutan dalam kalangan peminat drama Melayu tempatan.

Kehebatan lakonan dan pembawaan emosi Nad menerusi watak Juweta benar-benar meninggalkan kesan mendalam.

Bagi mereka yang berada pada situasi Juweta secara realiti, pasti dapat merasai kepedihan, perih dan patah hati dilalui.

Di sebalik kejayaan yang dipersembahkan Nad, 30, atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, siapa sangka ketika itu dia sedang hamil anak kedua dengan usia kandungan dua bulan.

Selain memerlukan penghayatan tinggi dari segi emosi, pada masa sama Nad juga perlu menyeimbangkan emosi diri yang sedang berbadan dua.

"Dari segi nak kawal emosi sedang hamil dengan watak dalam drama itu, saya masih okay. Tidaklah sampai emosi Juweta itu terbawa-bawa dalam diri. Apabila pengarah cakap 'cut', saya gembirakan diri.

"Dalam masa sama, saya pun takut jika emosi itu terbawa-bawa sebab kalau berada dalam tekanan bimbang mengganggu kehamilan. Alhamdulillah semuanya dipermudahkan dan dapat menghabiskan penggambaran dengan jayanya.

WATAK Juweta meninggalkan kesan pada penonton.
WATAK Juweta meninggalkan kesan pada penonton.

"Saya juga bersyukur kehamilan kedua ini tidak mendatangkan alahan. Cuma, pada awal saja ada sedikit alahan. Tapi, ketika mula penggambaran, ia hilang. Jadi, ia sangat memudahkan kerja saya," katanya.

Nad yang dijangka bersalin pada awal April depan berkata, Takdir Yang Tertulis bukanlah projek pertama dia berlakon dalam keadaan hamil.

"Ketika mengandungkan anak pertama, Fahad Ibrahim iaitu sewaktu usia kandungan enam bulan, saya juga terbabit dalam penggambaran. Tapi, perut tidak nampak sangat. Jadi, ketika penggambaran dibuat okay.

"Cuma, dalam Takdir Yang Tertulis masuk saja usia kandungan empat bulan, perut sudah kelihatan. Jenuh juga pasukan penerbitan nak 'cover'. Kalau perasan ada 'shot' yang tidak penuh atau saya mengenakan baju longgar. Tapi, kadang-kadang terlepas juga sebab memang tak boleh nak buat apa," katanya.

NAD bersama suami tercinta.
NAD bersama suami tercinta.

Takut harapan tinggi peminat

Nad mengakui dia sebenarnya semakin gementar untuk menjayakan mana-mana drama selepas ini.

Alasan Nad adalah dia takut jika peminat meletakkan harapan dan jangkaan tinggi terhadap setiap lakonannya.

"Alhamdulillah, saya gembira dan berterima kasih dengan pujian diberikan. Dalam masa sama, peminat dan penonton tentu saja mahukan lebih lagi pada karya akan datang. Jadi, sudah tentu saya perlu memberikan yang terbaik. Bukan saja untuk kepuasan diri malah penonton. Ini lagi membuatkan saya takut.

"Sejujurnya, ketika menjayakan drama Takdir Yang Tertulis, baik pengarah atau pelakon tidak menjangkakan ia mendapat sambutan hebat sebegini. Di lokasi kami hanya buat kerja dan jalankan tanggungjawab masing-masing berdasarkan permintaan skrip dan pengarah.

"Saya fikir ketika itu drama ini pun tema lebih kurang sama dengan drama lakonan saya sebelum ini iaitu Hati Yang Tersakiti. Jadi, saya berasakan mungkin penonton akan bosan. Cuma, setiap pelakon cuba berikan yang terbaik. Alhamdulillah, ketika ditayangkan bukan saja pelakon utama, tapi pelakon lain juga mendapat pujian," katanya.

Pertama kali berlakon di bawah arahan Shahrulezad Mohameddin, Nad mengakui ia satu pengalaman berharga. Begitu juga dengan beberapa pelakon lain.

NAD dijangka bersalin awal April.
NAD dijangka bersalin awal April.

"Diakui pada mulanya agak kekok juga berlakon dengan mereka yang pertama kali berlakon bersama seperti Alvin Chong dan Elvina. Tapi, apabila sudah lama, kami sudah ada keserasian dan ternyata masing-masing sekepala.

"Kalau nak tahu, saya juga gementar menjayakan Takdir Yang Tertulis sebab pertama pengarahnya yang mana kami pertama kali bekerjasama. Saya tahu, jangkaannya sangat tinggi buat semua pelakon pada setiap naskhah yang diarahkan. Jadi, saya tak boleh main-main," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nad berkongsi sudah mendapat beberapa tawaran drama dan bakal memulakan penggambaran selepas Aidilfitri nanti.

"Kebanyakan yang sudah mula merisik adalah untuk projek drama. Cuma, kali ini lain sikit dari genre Takdir Yang Tertulis. Kalau sama, nanti naik muak pula penonton. Jadi, rileks dulu untuk cerita sebegitu, kita cuba buat lain pula.

"Saya masih sukakan cerita yang berat, tapi watak biarlah beza. Sekurang-kurangnya tidaklah nampak sama saja lakonannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 6:00 AM