ANDI Bernadee. FOTO arkib NSTP
ANDI Bernadee. FOTO arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Susulan pendedahan penyanyi, Andi Bernadee mengenai dirinya disihir, timbul spekulasi mengatakan ia sekadar gimik.

Bagaimanapun, pihak pengurusan Andi iaitu Warner Music Malaysia dalam satu kenyataan tampil menafikan perkara itu.

"Selepas Andi memuat naik video yang menunjukkan dirinya dianiaya, ramai pihak tertanya-tanya mengenai keadaan Andi sekarang. Banyak juga spekulasi yang mengatakan ini adalah gimik daripada Andi.

"Kami bagi pihak pengurusan Andi ingin menjelaskan bahawa perkara itu adalah bukan gimik dan Andi sekarang dalam keadaan tidak sihat namun masih keadaan terkawal. Kami juga mengharapkan Andi segera pulih seperti sediakala," katanya.

Sementara itu, pengurus Andi, Nasir Deraman memohon peminat penyanyi lagu Donde itu mendoakan agar Andi diberikan kesembuhan segera.

"Buat peminat Andi yang mesej di Instagram, WhatsApp, Telegram dan 'inbox' bertanyakan perkembangan terkini Andi, saya mohon doakan agar Andi pulih seperti sedia kala dan diberikan kekuatan," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Andi yang juga pelakon drama Melastik Ke Hatimu yang ditayangkan di TV3 baru-baru ini membuat pendedahan berkenaan dirinya terkena sihir buat kali kedua.

Menerusi kenyataan sama, Andi berkata, sihir itu membuatkan rutin hariannya terganggu termasuk mengalami perut yang membuncit akibat selera makan yang tidak terkawal.

Selain itu, antara kejadian pelik yang menimpanya termasuk dirinya meraung dan memekak secara tiba-tiba.

Sebelumnya, Andi berkongsi hantaran berbentuk video di Insragram yang memaparkan dua paku karat dalam mangkuk berisi kuning telur yang ditarik daripada bahagian tekaknya.

Selain itu, katak kering juga ditemui atas bumbung kediamannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2021 @ 12:11 PM