ZOEY tetap aktif berlakon walaupun sudah ada perniagaan.
ZOEY tetap aktif berlakon walaupun sudah ada perniagaan.
Norhayati Nordin

NAMA Zoey Rahman semestinya pada ketika ini bukan hanya dikenali sebagai pelakon dan pengacara, tetapi ahli perniagaan berjaya menerusi produk kosmetik diusahakannya.

Sikap suka mencabar diri dalam perniagaan turut mendorongnya cuba meluaskan empayar dibina menerusi produk makanan pula.

Menurut Zoey, dia kini memperkenalkan produk makanan berasaskan coklat seperti kek enak.

Katanya, sudah tiba masa untuk dia memperkenalkan produk baharu selain barangan kosmetik termasuk pakaian.

"Memandangkan Ramadan kali ini juga kita semua kebanyakannya masih bekerja dari rumah kerana penularan Covid-19, saya dapati permintaan untuk makanan sangat baik dan memberangsangkan.

"Banyak pesanan, tempahan dan pembelian secara dalam talian dibuat pelanggan hingga saya terfikir harus mencubanya. Alhamdulillah, sambutan diterima sangat positif," katanya.

Menurut Zoey, tidak mudah untuk kekal berjaya dalam perniagaan kerana persaingan juga banyak. Oleh itu, dia perlu kreatif mempelbagaikan produk perniagaan dan berani mencuba sesuatu yang baharu.

Berbicara mengenai kerjaya seninya, Zoey berkata, tawaran berlakon hingga kini masih diterima. Malah, dia juga tidak berasa tergugat dengan kehadiran pelakon muda berbakat yang makin ramai.

"Sejak dulu hingga kini, saya tidak pernah memilih watak. Sama ada ia watak besar atau kecil, saya sedia terima kerana percaya setiap watak itu mempunyai pengaruh tersendiri.

"Lagipun, saya tetap dibayar juga walaupun melakonkan watak kecil. Ia secara tidak langsung turut menyumbang pada sumber pendapatan saya dan tak perlulah terlalu bersikap memilih," katanya.

Menurut Zoey yang pernah melonjak dengan drama Mat Rukun di TV9, dia selesa melihat jalan cerita dan watak yang sesuai.

Katanya, sebagai pelakon memang sudah menjadi tanggungjawab untuk mewarnai apa saja watak dilakonkan sebaik-baiknya.

"Saya pernah juga berlakon watak jahat dalam telefilem Imam Bisu beberapa tahun lalu. Bagi saya, setiap watak dilakonkan itu ada cabaran tersendiri.

"Apa yang paling utama sekarang ialah peluang. Kalau nak pilih watak utama dan baik saja, rasanya akan wujud kekangan. Jadi, untuk saya lebih baik terima sesuatu watak itu apabila rasa ia sesuai dan boleh dilakonkan dengan bagus," katanya.

Zoey yang masih bujang pada usia 36 tahun mengakui dia tetap berharap suatu hari nanti dipertemukan jodoh.

Bilakah akan tiba masa itu, hanya Allah yang menentukan dan dia hanya mampu berdoa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 6:20 AM